top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Punca 1/3 Kes Cerai Berlaku Dalam Usia 5 Tahun Perkahwinan

Oleh: Nasuha Mizam Penyunting: Kumutha Vallii Veloo



(Sumber: hmetro.com.my)

Perkahwinan bukanlah satu urusan kehidupan yang mudah. Ia merupakan perhubungan seumur hidup antara dua hati yang memerlukan pengorbanan. Merujuk kepada kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-5 yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2014, tempoh 5 tahun pertama perkawinan adalah yang paling mencabar.


Buktinya, kita sering mendengar tentang rentetan berita kemusnahan rumah tangga yang dibina dalam kalangan selebriti muda. Bukan mudah untuk kita melayari sebuah rumah tangga yang perjalanannya menjadi teladan kepada masyarakat yang berlainan bangsa, agama dan budaya. Bulan Jun lalu sahaja, Malaysia digemparkan dengan lebih lima kes selebriti terseret dengan kisah perceraian dan masalah rumah tangga sehinggakan fenomena ini menjadi hangat dan memburukkan ruang udara penggiat seni yang lain.


Antara selebriti yang menghadapi masalah rumah tangga ialah Alif Aziz, PU Abu, dan Vaida Imran. Tidak sehaluan, berlainan pendapat, sudah tawar hati dengan pasangan, atau kes curang adalah salah satu punca penceraian yang paling sinonim kita pernah dengar. Hal ini memberikan pelbagai reaksi masyarakat selain mengharapkan apa yang berlaku boleh dijadikan pengajaran dan teladan.


Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Puan Hannah Yoah membuat pendedahan berdasarkan kajian oleh LPPKN iaitu lebih 1/3 perkahwinan yang berakhir dengan penceraian berlaku dalam tempoh 5 tahun pertama perkahwinan.



Tiada persefahaman antara suami dan isteri merupakan antara punca terbesar penceraian pada perkahwinan pertama bagi lelaki dan perempuan dengan peratusan masing-masing sebanyak 72% dan 51%. Menurut anggota jawatankuasa Hakam, Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Syed Walid Al-Giffa Syed Ibrahim, kes ini melibatkan pasangan berumur awal 30-an yang sudah lima tahun mendirikan rumah tangga. Hal ini disebabkan oleh suami atau isteri tidak ramah, sering memendam rasa terhadap pasangannya selain sering mendiamkan diri sehinggalah kurangnya komunikasi bersama.


Bukan itu sahaja, sebenarnya tanpa kerjasama dan usaha dari kedua-dua pihak, amat mudah untuk salah seorang pasangan curang dalam perkahwinan. Impaknya suami atau isteri curang adalah punca kedua terbesar berlakunya penceraian pada perkahwinan pertama mereka iaitu sebanyak 15% isteri curang dan sebanyak 28% suami curang. Hasil kajian mendapati isu curang dalam perkahwinan boleh berlaku disebabkan oleh beberapa perkara seperti tertekan dengan urusan rumah tangga, ingin mencapai impian yang belum tercapai, sindrom “seven-year itch” di mana pasangan mula ingin mencuba sesuatu yang baru selepas 7 tahun berkahwin, tidak mencapai kepuasan ketika berumah tangga, lemah pegangan agama dan pengaruh hawa nafsu.


Selain itu, punca lain berlaku penceraian pada perkahwinan pertama lelaki adalah campur tangan mentua atau ipar pihak isteri. Tidak salah sekiranya pasangan ingin meminta pandangan atau pendapat, namun harus diingatkan bahawa perbincangan yang sebaiknya adalah bersama suami. Sebelum mendapat bantuan dari orang sekeliling atau pihak ketiga terutamanya keluarga terdekat, sang isteri perlu cuba berbincang sebaik mungkin dengan pasangan untuk mencari jalan penyelesaian. Tidak salah mengambil nasihat dari pihak ketiga namun si isteri hendaklah berhati-hati dan bijak mengawalnya dari menjatuhkan air muka suami.


Suami tidak bertanggungjawab juga menjadi punca penceraian pada perkahwinan pertama perempuan. Suami adalah tulang belakang keluarga dan banyak memainkan peranan penting dalam melindungi keluarga, menjaga kebajikan keluarga dan melindungi mereka daripada perkara-perkara buruk adalah antara tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Kewajipan memberi nafkah terletak di bahu suami. Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah pembayaran nafkah terhadap seseorang lelaki kepada isterinya, atau pun kepada bekas isterinya.


Sabar adalah kunci segalanya


Sabar pertama ialah sabar selepas berkahwin. Sejurus selepas berkahwin anda mula mengenal baik buruk antara satu sama lain. Suami dan isteri akan mula menyelami hati budi masing-masing, keluarga masing-masing dan juga sahabat handai serta kenangan silam yang muncul sekali sekala. Ini satu pengalaman rumit dan memerlukan daya tahan dan bersedia menerima segala kemungkinan. Jadi tenang dan bersabarlah ketika mengharunginya kerana ketika ini adalah fasa penyesuai diri.


Sabar kedua ialah sabar apabila masing-masing sudah tahu kekurangan yang selama ini kemas tersorok dalam diri. Sebelum bersama hanya yang indah dan hebat sahaja ditunjukkan. Selepas bersama, masing-masing sudah menunjukkan belang sama ada si suami atau pun si isteri. Maka anda hendaklah redha, terima kenyataan dan bersabarlah.

Sabar ketiga ialah sebelum bersama, masing-masing sibuk memberikan kata-kata cinta dan madah pujangga namun selepas sahaja bersama semuanya bertukar 360° darjah. Segalanya berubah dari kata-kata cinta kepada kata-kata pedih yang menyeksa jiwa setiap kali berlaku salah faham. Kesannya, wujud pertengkaran dan sengketa antara pasangan. Kata-kata nista seperti lembap, bodoh, bangang, celaka, kurang ajar dan lain-lain akan terucap terus ketika kemarahan menguasai jiwa. Bagi suami atau isteri yang menerimanya, tiada cara lain selain sabar.


Jika sebelum bersama suami atau isteri hanya melihat segala yang baik sahaja pada pasangannya. Namun, selepas bersama, semakin lama hanya yang buruk dan tercela sahaja di cari dan ditemui. Pasangan seolah-olah tidak pernah mengenal baik pasangannya kerana ketika itu apa di mata hanyalah keburukan dan kelemahan. Setiap pasangan yang berkahwin hendaklah belajar terima hakikat kebaikan yang dilakukan hanya untuk mencari redha Allah dan bukannya untuk mencari redha pasangan. Ini adalah sabar yang keempat.


Sabar yang tertinggi adalah ketika isteri mula mencabar dan minta diceraikan setiap kali berlaku pertengkaran. Terhambur kata-kata pedih, ugutan dan segala satu macam lagi taktik agar suami menjatuhkan talak. Nasihat untuk para isteri jangan sesekali melenting meminta talak, sabar, dan terima kenyataan. Suami juga hendaklah sentiasa mendengar segala rungutan si isteri kerana mungkin ada kurangnya dari sudut pandangan isteri. Maka, sabarlah bagi kedua-dua pihak.


Selamat bersabar. Ingat kembali detik anda diijabkabulkan bersama pasangan anda dan penulis pasti salah satu doa anda adalah mengimpikan perkahwinan yang bahagia bersama si dia hingga ke akhir hayat. SABAR!

1,296 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page