Oleh: Nadia Nurshazira Mohd Sharani
Penyunting: Seri Haidah Jaapar
Suasana di Pavilion Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR, 15 Mei - Suasana pusat membeli-belah di Pavilion Kuala Lumpur lengang semasa Hari Raya Aidilfitri yang ketiga berikutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang dikuatkuasa sejak 12 Mei 2021 dan menjadikan banyak tempat tumpuan dan pusat komersial menjadi sunyi.
Kemeriahan raya pada tahun ini kurang berbanding tahun sebelumnya kerana aktiviti ziarah-menziarahi rumah ke rumah tidak dibenarkan dan apa yang mengejutkan lagi suasana Pavilion, Kuala Lumpur yang sering menjadi tempat tumpuan orang ramai kini kurang menerima kunjungan pembeli-belah.
Namun terdapat segelintir masyarakat yang masih keluar ke pusat membeli-belah ini berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Nur Aqilah Abdul Jalil, 25, salah seorang pengunjung berkata bahawa beliau menjana pendapatan semasa PKP 3.0 sebagai seorang personal shopper dengan mengambil pesanan dan caj barangan yang dipesan daripada pelanggan.
“Kalau saya tak jadi personal shopper mungkin ramai yang akan keluar membeli-belah dan keadaan akan menjadi lebih sesak, lagi-lagi sekarang banyak sale terutamanya Bath and Body Works (BBW) dan UNIQLO yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka”, ujar Aqilah.
Beliau berpandangan bahawa jika tiada PKP 3.0, kemungkinan peningkatan Covid-19 akan semakin meningkat kerana pusat membeli-belah di ibu kota akan semakin sesak kerana mereka tidak dapat pulang ke kampung untuk menyambut perayaan Aidilfitri.
Penjawat awam, Abdul Jalil Othman, 57, mengakui tujuan beliau ke Pavilion adalah untuk membawa pulang makanan memandangkan PKP 3.0 tidak membenarkan pengunjung makan di premis.
“Walaupun premis makanan perlu mengekalkan konsep take-away atau pesanan online tetapi ada restoran yang tidak terdapat di aplikasi Grab Food atau Food Panda, jadi saya terpaksa ke sini untuk membeli makanan tersebut", kata Jalil.
“Banyak premis makanan ditutup kerana tiada pengunjung terutamanya di kiosk-kiosk kecil, kadang saya begitu risau dan simpati bagaimana jika tiada yang datang membeli”, tambah beliau.
Kerajaan setegasnya menasihati rakyat agar membeli barangan secara atas talian bagi mengurangkan pergerakan fizikal ke premis perniagaan terutamanya ke pusat membeli-belah bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19.
Menurut Suhaila Alias, 48, “Kebiasaannya raya sebelum ini, saya akan beraya bersama anak-anak tetapi berbeza pada tahun ini kerana aktiviti ziarah-menziarahi tidak dibenarkan jadi saya ke sini untuk menghilangkan rasa kesunyian.”
Walaupun beliau sedar tindakannya tidak wajar dilakukan tetapi melihat keadaan pusat membeli-belah di Pavilion yang lengang maka beliau menjadikan tempat tersebut untuk window shopping.
Salah satu inisiatif yang diperkenalkan dalam membendung rangkaian COVID-19 adalah sistem HIDE (Hotspot Identification for Dynamic Engagement) iaitu premis pernigaan yang dikenal pasti sebagai titik panas Covid-19 yang berpotensi mendatangkan risiko penularan wabak tersebut.
Walaubagaimanapun sebagai individu yang bertanggungjawab untuk menghentikan pandemik ini, rakyat Malaysia wajar untuk terus kekal di rumah dan keluar rumah sekiranya perlu sahaja agar wabak Covid-19 ini terkawal.
留言