• Nadi Bangi

Pusat Islam Anjur FESKIS Inter-Fakulti

Oleh: Zarith Sofea

Penyunting: Fatin Nasuha


Sumber: Facebook UKM

BANGI, 24 Nov – Buat kali pertama, Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Festival Kesenian Islam (FESKIS) 2019 antara fakulti dengan kerjasama Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM.


Tampil berbeza dari tahun-tahun sebelumnya yang hanya tertumpu kepada kolej kediaman, Pusat Islam telah membuka penyertaan FESKIS 2019 kepada semua fakulti di UKM atas permintaan Naib Canselor UKM.


Sesuai dengan tema ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera,’ FESKIS merupakan satu program rentetan sempena menyambut Maulidur Rasul peringkat UKM pada 18 November 2019.

FESKIS yang diadakan sejak tahun 2017 telah berlangsung selama dua hari pada 15 dan 16 November yang lalu bertempat di Pusanika, UKM.


Pelbagai acara dipertandingkan antaranya pertandingan poster infografik, video pendek, hafazan al-Quran, tilawah al-Quran, kesenian khat, syarahan dan nasyid.


Wakil Pusat Islam UKM, Ustaz Musa Muslim berkata, “Alhamdulillah setakat ini, penerimaan dalam kalangan pelajar daripada pelbagai latar belakang dilihat sangat positif.


“Pada tahun ini, kita memperkasakan kepada setiap fakulti dan setiap fakulti ada menghantar wakil untuk menyertai acara yang dipertandingkan,” ujar beliau.


Sementara itu, Yang Di-Pertua Fakulti Pengajian Islam, saudara Muhammad Alif Penain memberitahu pelbagai persiapan telah dilakukan dalam tempoh seminggu dengan kerjasama daripada setiap Persatuan Mahasiswa Fakulti (PMF), Pusat Islam dan Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM.


“Setiap fakulti perlu menghantar wakil seorang pelajar wanita dan seorang pelajar lelaki bagi setiap kategori yang dipertandingkan.


“Ramai peserta yang nak masuk walaupun dalam tempoh yang singkat dan penyertaan kali ini tidak mengecewakan,” tambahnya.


Athirah Ibrahim, pelajar tahun satu Fakulti Pengajian Islam berkata, ini merupakan kali pertama dia mengikuti FESKIS dan sangat teruja dengan pengisisan program yang menarik.


“Saya mendapat galakan daripada Ustaz saya untuk mengikuti program ini dan sangat terkejut kerana terdapat wakil dari pelbagai fakulti selain Fakulti Pengajian Islam yang turut serta.


“Saya juga tertarik dengan hafazan dan cara bacaan daripada para peserta dan Insyaallah akan menyertai program ini pada masa akan datang jika berkesempatan,” katanya.


FESKIS diadakan bertujuan untuk meningkatkan keyakinan pelajar dan mencungkil bakat-bakat baharu dari setiap fakulti.


Dalam pada itu, pihak Pusat Islam turut menyediakan pengangkutan kepada para pelajar UKM di kampus Cheras untuk menyertai program ini.

42 views0 comments