top of page
  • Writer's pictureAhmad Bhaihaqi

Radio Midas kembali berkolaborasi dengan pelajar antarabangsa

Penulis: Ahmad Bhaihaqi

Penyunting: Priiyalakshmi A/P Kumarrajah

Sumber Gambar: Instagram @midasukm


BANGI, 22 Nov- Radio Midas telah kembali berkolaborasi dengan pelajar antarabangsa Komunikasi Media (UKM-I) selepas menamatkan episod musim lalu dengan episod finale, Radio Midas: All Star pada bulan Jun yang lalu.

Radio Midas telah kembali dengan bertemakan konsep Disney+ Hotstar dan telah ke udara pada 16 November yang lalu serta tidak ketinggalan dengan penampilan daripada pelajar Mention arus perdana.

Menurut Ketua Penyelaras Radio Midas, Dr Khoo Suet Nie, Radio Midas menjalinkan kerjasama antara pelajar Mention arus perdana dan UKM-I dan mengetengahkan pelbagai penggunaan bahasa selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris seperti bahasa Indonesia dan bahasa Cina.

“Radio Midas semester ini sememangnya amat menarik kerana ini merupakan julung kalinya ada podcast yang bersifat antarabangsa.

“Selain daripada podcast dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, terdapat beberapa podcast dalam bahasa Indonesia dan juga bahasa Cina.

“Kekuatan Radio Midas untuk semester ini terletak kepada barisan podcaster yang kreatif, bertenaga dan juga berdedikasi.

“Hal ini menyebabkan saya merasakan banyak kandungan menarik daripada setiap podcaster ini kerana setiap daripada mereka mempunyai cara penyampaian yang unik dan menghiburkan,” tambahnya.

Menurut Nurnadiah Farhana Norazmi, 26, pelajar Mention arus perdana, kerjasama bersama pelajar antarabangsa ini adalah sebuah peluang yang baik untuk kedua-dua pihak yang mana pelajar antarabangsa ini mempunyai pengalaman menggunakan aplikasi Spotify yang tidak dapat diakses di negara China dan pelajar arus perdana dapat memantapkan penguasaan bahasa Inggeris apabila berkomunikasi dengan mereka.

“Kerjasama antara pelajar Mention arus perdana dengan UKM-I sangat baik kerana ini merupakan satu peluang yang baik lebih-lebih lagi untuk pelajar UKM-I dari Cina kerana kita semua tahu kebanyakan aplikasi seperti Facebook, Twitter dan juga Spotify ini tidak dapat diakses di negara Tanah Besar itu dan mereka boleh menguasai penggunaan platfom tersebut.

“Dengan adanya kerjasama dengan pelajar UKM-I ini boleh memantapkan lagi pertuturan saya dalam bahasa Inggeris kerana kebanyakan pelajar UKM-I menggunakan bahasa tersebut untuk bertutur.

“Di samping itu, kita juga boleh mengajar mereka bertutur bahasa kebangsaan kita,” katanya selepas episod pertama Trio Terliur diterbitkan.

Pelajar antarabangsa, Liu Zin Xin, 24, berkata kolaborasi ini mempunyai kelebihan tersendiri seperti saling bertukar pandangan dan idea dan antara kekurangan yang dikenal pasti dalam kerjasama ini adalah proses ini melambatkan kerja-kerja di belakang tabir.

“Saya berasa sangat teruja dan dalam masa yang sama bimbang kerana apabila digabungkan dengan pelajar Mention arus perdana dengan UKM-I akan ada kelebihan dan kontranya yang tersendiri seperti dapat mendengar banyak idea dan konsep yang boleh diambil kira.

“Namun, hal ini juga boleh menimbulkan kekacauan dan kesukaran dalam menguruskan hal-hal belakang tabir,” ujarnya.

Sebanyak 13 podcast terbaharu yang akan menjadi peneman kepada pendengar setia Radio Midas seperti Shine On, A Secret Corner, Cinema Geographic, Trio Terliur, Sa-balik Lagu, Same-Bunk, Selam-Mik, GenZ Buddy, Reminisensi, Problemagic, Solitary Majority, Obrolan Aja dan juga CM Culture Lab yang bersiarkan pada setiap hari Rabu pada jam 4 petang.

23 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page