Sharifah Nurhanni Fasihah Wan Narudin
Rahsia Di Sebalik Cilok Chow Kit
Penulis: Sharifah Nurhanni Fasihah Wan Narudin
Penyunting: Siti Kamariah Sujeno

Sumber Foto: Nadi Bangi
KUALA LUMPUR, 12 Dis – Penangan kuasa tular di Tiktok telah membantu melariskan kedai runcit makanan Indonesia iaitu Cilok-Cilok Chow Kit yang terletak berhampiran stesen monorel di Jalan Tuanku Abdul Rahman dikenali ramai sejak bulan puasa yang lalu.
Cilok yang berbentuk bulat seperti bakso merupakan satu jenis makanan kaum Sunda yang diperbuat daripada ubi kayu yang kenyal dengan tambahan bahan pelengkap seperti kuah kacang, sos dan kicap.
Menurut pengurus kedai runcit tersebut, Khoirotun Nikmah Musikan, 42, kebanyakan pelanggan yang datang ingin membeli cilok serta memberitahunya bahawa kedai tersebut tular di Tiktok.
“Selain daripada jajan dan keropok yang di import khas dari negara seberang, cilok adalah antara makanan Indonesia yang paling mendapat perhatian pelanggan.
Saya tidak memuat naik sebarang video di Tiktok sehinggalah ada seorang pelanggan memberitahu saya bahawa kedai ini tular di TikTok semenjak bulan puasa yang lepas," katanya.

Sumber Foto: Nadi Bangi
Rata-rata ulasan pelanggan yang telah memuat naik di TikTok menyatakan bahawa harga cilok yang murah dan berpatutan dengan saiz hidangan menyebabkan kedai tersebut kekal mendapat sambutan hingga ke hari ini.
“Saya baru pertama kali mencuba membeli cilok di sini kerana ramai review di Tiktok mengatakan ianya sedap,” kata Nurzulaikha Muhd Najib, 18, pelajar Queen College.
Zulaikha Muhd Yusuf, 35, yang merupakan pelanggan dari Kajang juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba cilok tular walaupun perlu menunggu lama sebelum kedai tersebut mula beroperasi pada jam 1 petang.
Bagi Abda Kamalia, 24, yang merupakan pelajar tahun ketiga Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata rasa cilok Chow Kit sama seperti cilok di negara asalnya.
“Walaupun harga sedikit mahal tapi demi mengubati rasa rindu di kampung halaman saya rasa berbaloi untuk membeli keropok, jajan atau cilok di sini kerana rasa yang sama,” ujarnya.
Rataman Suta, 38, yang merupakan pekerja kontraktor Indonesia adalah pelanggan tetap yang sering mempromosikan kedai tersebut kepada rakan yang lain kerana rasanya enak dan pekerja kedai yang sangat peramah.
Kedai runcit tersebut beroperasi setiap hari dan hanya cuti dua minggu sekali iaitu pada hari Isnin.
Pelanggan boleh dapatkan cilok Chow Kit pada harga bermula RM5 hingga RM10 mengikut pilihan masing-masing.