top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Rakyat Diminta Jangan Keliru dengan Pelaksanaan PKPB

Oleh: Auzaee Athallah

Penyunting: Fauzan Khufi



Sumber: Metro


PUTRAJAYA, 4 Mei - Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, menggesa rakyat negara ini untuk tidak keliru dan terus patuh dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 4 Mei 2020 ketika sidang media harian PKP, 4 Mei 2020.


PKPB merupakan sebuah langkah kerajaan untuk membuka kembali sektor ekonomi dan sosial dengan berhati-hati berpandukan syarat-syarat dan SOP pihak berkuasa. Keputusan kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi ini disokong oleh nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), berdasarkan data yang dikumpul, dan amalan terbaik yang ditentukan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). Sebarang aktiviti yang melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai masih lagi tidak dibenarkan.


“Rakyat seharusnya tidak keliru dengan kelonggaran PKP fasa ini kerana PKPB bermatlamat untuk lebih memberi fokus kepada pematuhan SOP yang telah disyaratkan oleh pihak berkuasa”, ujar beliau sambil menambah bahawa rakyat perlu meneruskan pematuhan dan disiplin yang telah ditonjolkan sewaktu PKP yang sebelumnya dijalankan.


“Rakyat perlu ingat bahawa Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 masih berkuat kuasa sewaktu perlaksanaan PKPB seperti mana PKP yang lain, dan pelaksanaan hukuman tetap sama sekiranya ingkar iaitu kompaun tidak melebihi RM 1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-dua sekali,” tambah beliau ketika sidang media harian PKP 4 Mei 2020.


Keputusan kerajaan dalam perlakasanaan PKPB ini membangkitkan pelbagai reaksi daripada rakyat. Segelintir rakyat bersetuju akan keputusan ini memikirkan kepentingan ekonomi Malaysia yang terkesan teruk akibat pandemik wabak COVID-19 ini. Segelintir rakyat juga kurang bersetuju memikirkan risiko nyawa dan berkemugkinan risiko penyebaran wabak ini meningkat sekiranya terdapat beberapa kelonggaran di dalam perlaksanan PKP kali ini.


Diana Husni Binti Yusnaidi, pelajar Universiti Malaya (Sarjanamuda Pengajian Sastera Inggeris, 2) berpendapat bahawa, rakyat Malaysia di negara ini telah sedar dan mampu untuk melakukan rutin-rutin pencegahan penyebaran wabak ini dengan berdikari.


“Pada PKP kali ini, langkah keselamatan kini berada di bawah tanggung diri kita sendiri pula dan saya yakin rakyat di negara ini akan terus mendisiplinkan diri demi keselamatan diri, orang terdekat, dan negara”,


“Saya yakin bahawa pihak kerajaan yang dibantu oleh Kementerian Kesihatan telah pun merancang beberapa SOP baharu yang akan dijalankan untuk rakyat patuhi dalam memastikan keberkesanan PKPB terjaga,” ujar beliau.


Hasyim Bin Hussin, 51, guru Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Kelantan berpendapat bahawa pihak berkuasa akan mengalami kesukaran dalam memastikan rakyat untuk terus mematuhi SOP yang telah digariskan.


“Cuba kita bayangkan orang yang perlu pergi bekerja menggunakan pengangkutan awam sudah tentu akan bersesak ketika waktu puncak, yang mana pasti sukar untuk mereka mengekalkan penjarakkan sosial dan akan meningkatkan risiko berjangkit dan berkemungkinan kluster baharu akan muncul”,


“Malaysia sepatutnya mengambil pengajaran daripada negara Jepun yang kini mengisytiharkan darurat kecemasan di wilayah Hokkaido setelah di landa gelombang kedua wabak itu kerana menamatkan perintah berkurung terlalu awal untuk membolehkan perniagaan dan sekolah beroperasi”, ujar beliau ketika ditemu bual oleh Nadi Bangi.


Perlaksanaan PKPB ini disusuli dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tertentu untuk membendung penyebaran wabak COVID-19 dengan lebih efektif.

26 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page