Penulis: Kanaga Suntari Sundra Sakaran
Penyunting: Muhammad Amirul Akmal
Sumber: Google
Hampir semua bank di Malaysia mengumumkan bahawa caj RM1 akan dikenakan apabila mengeluarkan wang tunai di mesin ATM di bank bermula pada 1 Februari 2022. Tindakan ini telah menyebabkan kegusaran dalam kalangan rakyat lebih-lebih lagi kepada mereka yang berpendapatan rendah. Sebelum ini, mana-mana pengguna yang ingin mengeluarkan wang di ATM selain di bank yang dilanggan mereka akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM1. Namun begitu, ianya tidak wajar dikenakan caj transaksi RM1 di mesin ATM di bank yang mereka langgani kerana tindakan itu membebani rakyat.
Berdasarkan kajian yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, impak pandemik Covid-19 menjejaskan pendapatan rakyat dan ekonomi Malaysia. Hal ini menyebabkan ramai isi rumah terdedah kepada kemiskinan, terutamanya dalam kalangan B40 dan golongan rentan. Statistik kemiskinan negara juga meningkat daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada 8.4 peratus pada tahun 2020 disebabkan oleh pandemik Covid-19. Pada November yang lalu , kerajaan mengumumkan bahawa seramai 600,000 isi rumah berpendapatan sederhana (M40) telah jatuh ke dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) akibat pandemik Covid-19. Oleh itu, masyarakat masih berada dalam belenggu kemiskinan.
Pada pendapat penulis, pelaksanaan semula caj transaksi RM1 pengeluaran wang tunai di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) amat membebankan rakyat, terutamanya sewaktu pandemik ini berlaku. Tindakan ini berlaku pada waktu yang kurang sesuai dan akan membebani rakyat. Bayangkan, setiap kali pengeluaran tunai di ATM dikenakan Caj RM1, maka sudah tentu dalam 10 kali pengeluaran dikenakan sebanyak RM10. Dengan nilai RM10 ini kita boleh membeli barang dapur yang asas seperti sayur-sayuran, ikan atau ayam. Sedangkan, harga barang juga meningkat secara mendadak sehingga tidak boleh dikawal, hal ini turut membuat masyarakat buntu untuk memikirkan jalan penyelesaian. Tambahan lagi, isu pengangguran juga meningkat sehingga tidak ada jalan penyelesaian. Bagi masyarakat yang berpendapatan tinggi nilai RM1 adalah kecil, tetapi bagi masyarakat pendapatan rendah besarnya nilai RM1.
Persoalannya di sini, adakah pihak bank wajar mula mengenakan caj RM1 sewaktu pandemik ini? Bagaimanakah keadaan keluarga B40 dan warga emas? Adakah pihak bank mengutip balik duit ini yang tidak dapat dikutip semasa pandemik lepas?
Seterusnya, penulis merasakan bahawa pihak bank tidak wajar melaksanakan perkara ini ketika masyarakat masih lagi sedang bertahan dalam kehidupan norma baru selepas pandemik ini. Masyarakat masih berada dalam belenggu kemiskinan, dan belum keluar daripada kesusahan ini. Maka setiap sen itu merupakan nilai yang sangat besar kepada mereka. Caj RM1 yang dikenakan untuk setiap transaksi membuatkan pihak bank boleh menerima berjuta-juta ringgit daripada pengguna. Secara tidak sedar, pihak bank juga meletakkan pelbagai caj ke atas semua transaksi. Tindakan untuk tidak mengenakan sebarang caj tersembunyi adalah satu bantuan yang baik kepada masyarakat.
Tambahan lagi, golongan B40 adalah golongan berpendapatan bawah RM3000. Bagi Golongan B40, mereka akan mengalami kesukaran untuk menguruskan kewangan keluarga tambahan pula pada waktu Covid-19 ini. Kos sara hidup juga meningkat disebabkan ekonomi negara yang semakin merosot semasa pandemik ini. RM1 adalah nilai yang besar bagi golongan ini. Daripada pemerhatian penulis, golongan ini menguruskan wang dengan berjimat cermat supaya tidak terjatuh dalam kesusahan. Oleh itu, golongan ini dilihat akan mengeluarkan wang dari ATM sedikit demi sedikit kerana mereka risau pengeluaran wang yang berlebihan cepat habis. Hal ini menunjukkan pengeluaran wang yang berkali-kali dikenakan caj RM1 mengikut pada seorang individu. Perkara ini dijelaskan bahawa pihak bank boleh mendapatkan caj ini berkali-kali pada orang yang sama dan pengguna juga menghadapi kerugian melalui caj RM1 berkali-kali. Perkara ini sama juga berlaku kepada warga emas. Warga emas adalah golongan yang tidak mahir atau tidak berminat untuk menggunakan perbankan online, maka mereka perlu pergi ke mesin ATM untuk pengeluaran tunai. Bayangkan jika seorang warga emas tersebut mengeluarkan wang tunai beberapa kali mereka pula dikenakan caj RM1. Maka benda ini membebankan pihak warga emas, kerana mereka hanya mendapat wang yang sangat sedikit untuk keperluan mereka.
Seterusnya, hal ini mungkin berlaku dek kerana pihak bank tidak dapat mengutip wang sewaktu pandemik melanda negara. Walaupun pihak bank tidak mengenakan Caj RM 1 melalui transaksi, tetapi mereka mungkin akan mengenakan caj dalam perkhidmatan lain. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh sektor bank, keuntungan bersih suku kedua Maybank adalah sebanyak RM1.96 billion iaitu lebih RM1 billion tinggi berbanding tahun sebelumnya. Begitu juga dengan bank CIMB yang melaporkan peningkatan kepada RM1.835 billion keuntungan bersih ke RM2.62 billion berbanding RM785 juta tahun sebelumnya. Jadi hal ini menunjukkan bahawa bank tetap mengenakan cukai keatas caj-caj yang lain.
Pada waktu ini pihak bank pula, tidak wajar mengenakan caj RM1. Pihak bank boleh mengurangkan caj pengeluaran duit daripada RM1.00 kepada RM0.10 sen bagi setiap pengeluaran. Bayaran bagi setiap transaksi ini boleh menguntungkan kerajaan apabila jumlahkan dengan keseluruhan pengguna pada setiap hari. Tambahan pula, bagi pemegang akaun 60 tahun keatas dan golongan miskin perlu dikecualikan daripada caj perkhidmatan ini. Kerajaan perlu kaji semula mengenai isu ini dan perlu mendapatkan pandangan masyarakat supaya dapat menjaga kebajikan mereka.
Oleh yang demikian para pengguna bank haruslah berwaspada apabila membuat transaksi pada mesin ATM masing-masing. Individu boleh mengeluarkan wang dalam ATM tanpa sebarang caj. Namun begitu, bagi transaksi dari satu bank ke bank yang lain melalui ATM akan dikenakan caj RM1.00. Bank CIMB, Islamic Bank serta Maybank telah mengeluarkan kenyataan tentang tindakan tersebut jadi rakyat perlulah peka dan merujuk kepada pegawai bank sebelum membuat sebarang transaksi.
Commentaires