top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Ramadan Sketch Challenge 2021 Terima Sambutan Hangat

Updated: Apr 23, 2021

Oleh: Haziq Johan

Penyunting: Anis Natasya




KUALA LUMPUR, 19 April - Ramadan Sketch Challenge 2021 yang dianjurkan oleh KLsketchnation telah berlangsung sejak seminggu yang lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemar seni lukisan di media sosial.


Acara yang sudah memasuki tahun ke-13 ini diadakan bagi memupuk dan mengajak orang ramai meluangkan sedikit masa untuk melukis mengikut tema yang telah disediakan oleh pihak penganjur selama tempoh bulan Ramadan. Tema yang diberikan hanya sebagai panduan namun terpulang kepada setiap individu untuk mengolah karya mereka agar menjadi lebih menarik.


“Penganjuran kali ini dijalankan sedikit mencabar berbanding tahun-tahun sebelumnya namun sambutan yang diterima adalah sangat baik di mana pada hari pertama sahaja tanda pagar #ramadhansketchchallange2021 telah digunakan sebanyak 400 kali di laman Instagram.” kata pengasas dan pengarah KLsketchnation, Hakym Hilmi.


Instagram dan Twitter telah dipilih sebagai medium penganjuran bagi memastikan acara ini dapat disertai oleh seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang terutamanya kepada mereka yang masih berjinak-jinak di dalam industri ini. Tujuan utama acara ini dijalankan bukanlah untuk mengukur tahap kemahiran peserta, namun apa yang penting ialah istiqamah dalam menghasilkan seni lukisan dari hari pertama hingga ke penghujung acara.


“Kami mengharapkan acara ini dapat membentuk sebuah komuniti kreatif dalam masyarakat di negara ini secara meluas dan terbuka agar lebih ramai yang akan berani untuk berkongsi hasil kerja mereka terutama di platform seperti media sosial tanpa perlu berasa risau akan kritikan awam.”


Dalam pada itu, Hakym berpendapat perubahan ketara dapat dilihat dari tahun ketahun di mana penggunaan teknologi semakin meningkat dalam penghasilan sesebuah seni lukisan. Penglibatan teknologi juga telah membantu para pelukis berhubung dan berkongsi pendapat antara satu sama lain untuk menyiapkan lukisan secara bersama melalui panggilan video.


“Bermula tahun 2020, penglibatan seni digital dilihat amat menggalakkan berkemungkinan kerana orang ramai sudah mula mempunyai peranti digital seperti komputer riba dan juga tablet sendiri bagi memudahkan urusan secara atas talian dapat dijalankan.


“Covid-19 juga menjadi salah satu faktor di mana masyarakat lebih banyak mengahabiskan masa di rumah seterusnya mempunyai masa terluang dalam mencuba sesuatu yang baharu seperti seni lukisan digital.”


Bagaimanapun, Hakym menyatakan bahawa seni lukisan tradisional masih tidak dilupakan dan memperoleh sambutan yang tidak kurang baiknya. Menurutnya, pelbagai keunikan dapat dilihat melalui hasil penyertaan orang ramai dalam Ramadhan Sketch Challenge antaranya terdapat peserta yang menerbitkan buku, komik dan poskad selepas menyiapkan lukisan selama 30 hari. Dimaklumkan juga, pihak KLsketchnation sedang merancang untuk mengadakan sebuah pameran yang bakal mengetengahkan hasil karya peserta-peserta yang berjaya menyiapkan cabaran 30 hari yang sedang berlangsung ini.



143 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page