top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Reputasi Taiwan Sebagai Negara Selamat Tercemar

Oleh: Shirly Low Shi Li

Penyunting: As Nurul ‘Ainaa Awanudin

Sumber : Focus Taiwan

TAIPEI, 10 Nov – Reputasi Taiwan sebagai negara kedua terselamat di dunia telah tercemar apabila seorang pelajar Malaysia, Irene Chung, 24, ditemui mati di kawasan berhampiran Daerah Alian, Kaohsiung, Taiwan selepas pihak universiti melaporkan kehilangannya kepada pihak polis pada 29 Oktober yang lalu.

Menurut kenyataan media Kementerian Luar Negeri, pihak berkuasa Taiwan telah mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah wanita berwarganegara Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Christian Chang Jung.

Chung dilihat kali terakhir dalam rakaman visual kamera litar tertutup (CCTV) bertarikh 28 Oktober 2020. Dalam rakaman visual tersebut, mangsa dilihat berjalan sendirian di jejantas sepanjang landasan kereta api yang berhampiran dengan Universiti Christian Chang Jung.

Menurut kenyataan Ketua Polis Bandar Tainan, Yang Ching-Yu, mangsa diculik oleh seorang lelaki di kawasan yang berhampiran dengan kampus pelajar pada pukul 8 malam. Polis telah mengesan suspek yang menculik Chung melalui rakaman visual kamera litar tertutup (CCTV) dan menahan suspek tersebut pada 29 Oktober.

“Pihak berkuasa telah berjaya menahan seorang suspek yang dikenali sebagai Liang yang berusia 28 tahun selepas menemui kesan darah dan beg berisi pakaian dalam wanita di dalam keretanya.

“Selepas disoal siasat, suspek mengaku menjerut leher mangsa dengan seutas tali sebelum mencampak mayatnya di kawasan lereng bukit di bandar Kaohsiung,” katanya.

Suspek mengaku bersalah atas kesalahan menculik, membunuh serta melakukan gangguan seksual terhadap mangsa.

Menurut kenyataan polis tempatan di Tainan, terdapat seorang lagi pelajar wanita membuat laporan bahawa seorang lelaki cuba untuk menculiknya di lokasi yang sama seperti mendiang Irene Chung pada 30 September yang lalu. Namun, pihak berkuasa masih tidak mempunyai bukti bahawa suspek tersebut adalah orang yang sama yang menculik dan membunuh Chung.

Ibu bapa mendiang Irene Chung telah berlepas ke Taiwan untuk urusan pengebumian dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 29 Oktober. Bapa mangsa berharap agar penjenayah tersebut mendapat hukuman mati sebagai suatu pengajaran untuk orang lain.

Menurut sumber Astro Awani, Presiden Taiwan, Tsai Ing-Wen mengucapkan takziah dan memohon maaf kepada keluarga mangsa dan rakyat Malaysia atas kejadian tersebut. Menurut Tsai, insiden tersebut telah mencemarkan imej negara Taiwan sebagai negara yang selamat serta berjanji bahawa insiden tersebut tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.

Perdana Menteri Taiwan, Su Tseng-Chang turut memohon maaf kepada kerajaan Malaysia atas kejadian yang menimpa pada mendiang Irene Chung.

131 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page