Penulis : Muhammad Akmal Arfan Roslan
Penyunting : Kuvineshwaren Nedunjelian
![](https://static.wixstatic.com/media/d7acfc_a9bef957132148628a40ee5a1936e940~mv2.png/v1/fill/w_890,h_738,al_c,q_90,enc_auto/d7acfc_a9bef957132148628a40ee5a1936e940~mv2.png)
Hidangan Makanan Australia Wagyu M7. Sumber foto: Facebook Spice grill
Restoran Spice Grill merupakan sebuah restoran berkonsepkan fine dining menggabungkan cita rasa masakan India dan Barat yang terletak di Persiaran Puteri Harbour, Nusajaya, Johor Bahru, Johor. Menurut laman web foodadvisor.my restoran ini merupakan restoran terbaik di Johor Bahru hasil campuran cita rasa masakan India dan Barat.
Menariknya restoran steak daging ini adalah kerana steak daging yang dimasak dicampurkan dengan menggunakan rempah India dan dipanggang sehingga cukup masak. Steak daging lembu dihidangkan bersama-sama dengan sayuran brokoli dan pencicah pilihan pengunjung.
Menurut Pengurus Kanan Restoran, Joe Anjum, 30, berkata bahawa daging lembu yang diambil adalah daging lembu yang berkualiti tinggi iaitu daripada lembu baka wagyu dan daging tersebut di import daripada Australia dan Jepun. Manakala terdapat juga daging steak kambing yang diimport daripada New Zealand.
Bagi pengunjung yang suka kepada pudina, anda pasti akan suka steak daging kambing kerana ia disaluti dengan pudina dan dicampurkan menggunakan resepi India serta dipanggang. Steak daging kambing ini dihidangkan bersama-sama sayur baby potatoes dan Rosemary Lemon Pepper.
Joe berkata bahawa masakan India yang dimaksudkan di dalam restoran ini adalah tidak tertumpu kepada negara India sahaja, malah masak India bermaksud merangkumi masakan negara Pakistan, Iran, Afghanistan, dan Sri Lanka.
![](https://static.wixstatic.com/media/d7acfc_20918250a8c44b029160367ac67fe245~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_1157,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d7acfc_20918250a8c44b029160367ac67fe245~mv2.jpg)
Udang Harimau dihidangkan bersama Chettinadu Sauce
Sumber foto: Instagram @Spicegrilljb
Masakan udang harimau merupakan antara hidangan terbaik di restoran ini dan beliau menyarankan untuk pengunjung mencuba hidangan tersebut untuk merasai perbezaan masakan di restoran ini dan restoran lain di luar. Bagi cadangan hidangan utama mereka iaitu udang harimau, mereka memberikan pilihan kepada pengunjung untuk menyajikan udang tersebut bersama kari istimewa mereka atau udang harimau tersebut dipanggang atau kedua-duanya sekali bergantung kepada kehendak pengunjung.
Malah, sekiranya anda hendak makan udang harimau tersebut bersama pencicah lainya, restoran tersebut menawarkan lima jenis pilihan pencicah iaitu Burnt Garlic Lemon butter, Smoked Salt & Black – Pink Peppercorn, Rosemary Garlic Herbs, Fried Garlic Chili, dan Chettinadu Sauce.
![](https://static.wixstatic.com/media/d7acfc_66b97f6855094f1ca1b9ce7265b51966~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_980,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d7acfc_66b97f6855094f1ca1b9ce7265b51966~mv2.jpg)
Pemandangan Restoran Spice Grill dari luar pada waktu malam.
Sumber Foto: Facebook Spice Grill
Restoran ini menggunakan masakan gabungan dan tukang masak tidak berpandukan sepenuhnya kepada resepi barat kerana tukang masak restoran ini mengubah resepi dengan mengolah rasa asal resepi tersebut tanpa mengubah konsep masakan gabungan India dan Barat untuk memberikan yang terbaik buat pengunjung. Sebagai contoh, Spageti Kabonara yang dihidangkan mempunyai perbezaan daripada segi rasa dan warna kerana resepi asal telah diolah oleh tukang masak di restoran tersebut. Restoran ini juga boleh mengolah resepi mengikut cita rasa permintaan pengunjung.
Selain itu, restoran ini juga terdapat pelbagai jenis makanan campuran India dan Barat seperti kebab, ayam tandoori, itik tandoori dan pelbagai jenis masakan ayam. Joe berkata bahawa kebab di restoran ini tidak menggunakan daging biasa seperti yang ditemui di dalam kebab pasar tempatan dan daging yang digunakan adalah daging import yang terbaik buat pengunjung yang gemar makanan kebab ini.
Joe berkata “bagi pelanggan yang beragama islam anda tidak perlu risau kerana segala bahan bagi penyediaan makanan diambil daripada pembekal yang merupakan pemegang sijil halal yang sah dan rasmi,”.
Reka Bentuk Dalaman Restoran Spice Grill
![](https://static.wixstatic.com/media/d7acfc_651e0ebc192a43b384c32decd0c30fe8~mv2.png/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_90,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d7acfc_651e0ebc192a43b384c32decd0c30fe8~mv2.png)
Persekitaran Restoran Spice Grill di Puteri Habour . Sumber Foto: Instagram @Spicegrilljb
Di dalam restoran Spice Grill ini terdapat dua bahagian ruangan makanan yang cukup untuk menampung tujuh puluh hingga lapan puluh orang pelanggan. Dua bahagian ruangan makanan tersebut adalah di dalam restoran dan di luar restoran.
Di bahagian dalam restoran, meja makan dihiasi dengan alas meja berwarna putih dan terdapat peralatan makanan seperti sudu, garfu, serta pemotong. Selain itu, di atas meja berkenaan terdapat segelas cawan minuman yang kosong serta pinggan makanan sudah siap disediakan buat para pelanggan.
![](https://static.wixstatic.com/media/d7acfc_f769b6b9411646e8834ae1c512f90401~mv2.png/v1/fill/w_801,h_612,al_c,q_90,enc_auto/d7acfc_f769b6b9411646e8834ae1c512f90401~mv2.png)
Bilik Khas atau Bilik VIP tertutup di Restoran Spice Grill. Sumber Foto: Johorkaki.blogspot
Bagi pengunjung yang ingin menyambut sesuatu majlis atau makan bersama orang tersayang, terdapat sebuah bilik makan khas tertutup yang boleh ditempah di dalam restoran ini.
“Kami menggalakan agar pelanggan yang ingin datang ke restoran kami membuat tempahan meja terlebih dahulu melalui panggilan telefon supaya anda tidak perlu menunggu lama di kaunter penerimaan tetamu semasa tiba di restoran kami,” kata Joe.
Bagi anda yang ingin membatalkan tempahan meja yang telah dibuat, jangan risau, tiada cas yang dikenakan keatas sebarang pembatalan tempahan. Anda harus menghubungi semula restoran tersebut dan memaklumkan kepada mereka berkenaan dengan pembatalan tempahan.
Comments