top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Riders Foodpanda Didakwa Kerana Melanggar Lampu Isyarat

Wartawan : Aiman Shaharudin

Penyunting : Nur Liana Afandi


Sumber : Harian Metro

BANGI, 29 Okt. - Banyak insiden kemalangan melibatkan Riders penghantar makanan yang didakwa melanggar pematuhan lampu isyarat oleh sebab sikap acuh tak acuh terhadap pematuhan undang-undang jalan raya.

Menurut Mohd Azli Bin Ismail, 43, penghantar makanan Foodpanda, “Kami bukan sengaja melanggar lampu isyarat tetapi kami bersaing untuk mendapatkan pesanan sebanyak mungkin kerana skim pembayaran gaji baharu (Skim Pembayaran Jarak Jauh) batch kali ini menentukan gaji kami mengikut bilangan pesanan yang diterima. Oleh sebab itu kami juga terpaksa melanggar lampu isyarat dek mengejar masa untuk menghantar makanan supaya pelanggan menerima pesanan dalam tempoh masa yang dijangkakan. ”

Menurut Ravivarma a/l Muniandi, 24, penghantar makanan Foodpanda, “Kebanyakan penunggang P-hailing juga terpaksa bergegas ke lokasi penghantaran kerana terpaksa berdepan dengan sikap pelanggan yang tidak sabar danmerungut apabila pesanan makanan mereka mengalami sedikit kelewatan. Jadi, kami tiada pilihan selain menghantar pesanan tersebut dengan kadar segera tanpa sebarang alasan sekalipun.”

Kerja penghantaran makanan ini bukanlah mudah serta berisiko kepada seseorang penunggang. Hal ini kerana, mereka perlu menghantar makanan dengan kadar segera tanpa mengambil kira keadaan jalan raya tersebut lengang atau berada di waktu puncak seperti waktu pergi dan balik kerja.

Menurut sumber di laman sosial Facebook, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia berkongsi kenyataan daripada Zulhelmi Mansor, Pengerusi PENGHANTAR Malaysia berkata, “Sistem syarikat lah punca ramai penunggang P-hailing (Perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal) terpaksa untuk tidak patuh keselamatan undang-undang jalan raya. Ada juga keadaan, penunggang yang perlu mengikut masa ditetapkan, jika terdapat banyak lampu isyarat, sudah semestinya ambil masa sedikit. Tetapi jika penunggang lambat sampai, sudah pasti pendapatan ditolak, jadinya apa pilihan yang ada? Terpaksalah mereka melanggar lampu isyarat merah.”

Sehubungan dengan itu, laporan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati bahawa lebih kurang 64 peratus dari penunggang motosikal yang melakukan kesalahan trafik dan terdapat 150 kemalangan dengan 4 kematian dicatatkan oleh Jabatan Penguatkuasaan Trafik Polis Di Raja Malaysia adalah melibatkan penunggang P-hailing sepanjang 3 bulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Walau bagaimanapun, pelaksanaan skim P-hailing diharapkan dapat diteliti semula dengan mengambilkira aspek keselamatan dan kebajikan penunggang sebagai pekerja penghantar makanan agar penunggang tidak terbeban untuk menjalankan pekerjaan harian serta mengurangkan kes kemalangan di jalan raya.

344 views1 comment
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page