Aina Dhalan
RM3,000 Tabung Surau Lesap, Suspek Diburu Polis
Updated: Jun 26, 2022
Penulis : Aina Umairah Muhammad Dhalan
Penyunting : Ahmad Fayyadh Muhamad

Keadaan tabung yang telah dipecahkan oleh suspek di Surau Al Mizan Presint 8 Putrajaya.
Sumber : Nadi Bangi
PUTRAJAYA, 19 Jun: Polis sedang memburu suspek yang mencuri duit tabung surau bernilai hampir RM 3000 di Surau Al-Mizan Presint 8 di sini pada ahad lalu.
Sarjan Nor Azreen Binti Ramlee merangkap penolong pegawai penyiasat cawangan jenayah Ibu Pejabat Polis Putrajaya berkata, beliau telah mendapat satu laporan daripada Imam Surau Al Mizan, Ustaz Aiman yang menyatakan ada kecurian tabung surau bersebelahan dengan kolam ikan di laluan keluar masuk jemaah.
“Suspek dilihat sedang berjalan masuk ke dalam kawasan surau sambil memakai pelitup muka dengan berbaju merah, bertopi dan berseluar jeans telah mencuri duit tabung surau.
“Pengadu telah membuat pemeriksaan ke atas tabung surau yang didapati telah pecah dan kecurian dianggarkan sebanyak RM 3,000 telah dibawa lari oleh suspek.
“Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 9 pagi hari Ahad yang lalu,” katanya ketika ditemui wartawan Nadi Bangi kelmarin.
Keadaan surau yang sunyi sepi tanpa jemaah lain pada hari kejadian telah menyebabkan suspek berani untuk melakukan aktiviti kecurian tersebut.
Tingkah laku dan pergerakan suspek yang melakukan perbuatan negatif juga telah dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam surau itu.
Menurut Azreen, tabung berkenaan merupakan tabung pembangunan untuk menaik taraf Surau Al-Mizan Presint 8 dan kutipan biasanya dilakukan pada setiap minggu hari Rabu pada oleh bendahari surau.
Tambahnya lagi, penyiasatan ini menjadi sukar kerana kami tidak dapat mengesan cap jari suspek kerana permukaan tabung duit itu kasar dan diperbuat daripada kayu.
“Penyiasatan untuk mengetahui dan mendapatkan cap jari suspek agak sukar dikenal pasti kerana keadaan permukaan tabung duit surau itu adalah jenis kasar dan diperbuat daripada kayu,” katanya.
Beliau berkata lagi, siasatan terperinci masih dijalankan sehingga suspek dapat ditangkap mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan mencuri dalam mana-mana bangunan, khemah atau yang digunakan sebagai tempat kediaman manusia atau untuk simpanan harta.
Sehingga ada perkembangan mengenai suspek seperti no pendaftaran kenderaan suspek dan maklumat orang awam serta semakan CCTV di beberapa kawasan terdekat siasatan akan diteruskan.
Sebarang maklumat dan bantuan daripada orang awam akan memudahkan proses tangkapan suspek dan mohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pihak polis yang berhampiran atau pihak Surau Al-Mizan Presint 8 Putrajaya.