Nadi Bangi
Rungutan Mangsa Banjir Kepada Pihak Berkuasa Wajar Disantuni
Penulis: Muhammad Amirul Akmal Bin Azhar
Penyunting: Kanaga Suntari Sundra Sakaran

Sumber: Google
Rakyat di negara ini terus dibebani dengan pelbagai mala petaka yang datang tanpa henti, serta yang paling terbaru untuk penutup tahun 2021, banjir besar pula menimpa kepada negara, walhal wabak pandemik Covid – 19 baru sahaja menurun, dan hal ini menyebabkan banyak rungutan rakyat terhadap pihak berkuasa, mengapa mereka tidak menjalankan tanggungjawab mereka untuk melindungi orang awam.
Banjir besar yang berlaku di Shah Alam antara yang terburuk selepas peristiwa yang pernah berlaku di kawasan itu pada 30 tahun lalu, dan sudah semestinya bencana alam yang berlaku membawa kerosakan yang sangat besar kepada mangsa banjir, dimana banyak mangsa banjir yang mengalami kerosakan barang – barang berharga, anggaran kerugian sebanyak 20 ribu ringgit setiap unit rumah serta seramai 48 orang yang telah menjadi korban.
Menjadi persoalan mengapa bahagian meteorologi tidak boleh anggarkan taburan hujan untuk musim tengkujuh? dan tiadakah sebarang mekanisme lain untuk melepaskan air yang bertakung sedikit demi sedikit? dan mengapa pihak yang bertanggungjawab tidak mahu memberi amaran kepada orang awam agar orang awam boleh bersiap sedia untuk menghadapi banjir? Adakah pihak yang bertanggungjawab tidak mengambil peduli terhadap impak yang bakal berlaku kepada orang awam?
Dengan pelbagai bencana yang telah menimpa sekaligus kepada rakyat, maka berlakulah pelbagai rungutan – rungutan rakyat kepada pihak kerajaan, dan disini tercetusnya banyak pertikaian tentang tanggungjawab yang perlu kerajaan pikul tetapi tidak di pikul dengan baik, kerana pihak kerajaan seolah - olah tidak menggambil cakna tentang kebajikan rakyat.
Pada pendapat penulis, kerajaan sepatutnya cepat mengambil tindakan terhadap bencana yang berlaku supaya dapat membendung pelbagai masalah, dan pihak kerajaan sepatutnya memberi amaran terlebih dahulu kepada orang ramai tentang bencana alam yang bakal berlaku agar orang ramai dapat bersiap sedia untuk menghadapi banjir.
Suara Rakyat Kepada Pihak Berkuasa
Rakyat naik berang apabila tular di media sosial ketika banjir besar sedang melanda, menteri - menteri pula sibuk berpolitik dan berkumpul di dalam dewan besar yang tampak meriah dan mewah, serta kelihatan pada ketika itu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula memotong kek walhal pada ketika itu, rakyat yang terjejas banjir sedang bersabung nyawa menyelamatkan diri dan keluarga serta barang - barang berharga.
Rungutan penduduk Taman Sri Muda, kejadian pada 21 December, air yang paras ketinggian sehingga empat kaki di kawasan Taman Sri Muda membuatkan banyak kereta di kawasan itu ditenggelami air. Hal ini menyebabkan pasukan badan beruniform askar dan bomba tidak membenarkan orang awam melalui kawasan tersebut kerana merbahaya. Selepas selang beberapa hari kemudian, air mula surut, dan difahamkan penduduk dan beberapa orang awam yang cuba menghulurkan pertolongan tidak dibenarkan masuk kerana kehadiran menteri – menteri yang datang bersama iringan para media bagi merakamkan aksi mereka seolah - olah sedang membantu membersihkan kawasan rumah mangsa banjir.
Sebelum daripada kejadian itu, terlalu banyak tular tentang pertolongan yang diberikan oleh orang awam tiba terlebih dahulu, dimana mereka yang datang membantu dalam kadar yang segera bersama bot dan makanan. Setelah banyak bantuan daripada orang - orang awam yang diterima oleh mangsa banjir, barulah ahli politik pula hadir apabila bah sudah hampir kebah. Pada ketika itu, ramai orang awam yang berhati mulia menghulurkan bantuan menjadi wira dan secara tidak langsung tertular di mana - mana media.
Bantuan Kerajaan Kepada Mangsa Banjir
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob cuba meringankan beban kepada mangsa banjir bukan sahaja di sekitar negeri Selangor, malahan di semua negeri dan kawasan yang terlibat dalam banjir, dengan memberikan bantuan wang tunai RM2,500 untuk pembelian barangan keperluan serta bantuan membina rumah baharu sehingga RM56,000.
Selain itu, kerajaan juga akan menyediakan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja - kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan yang tidak serius dan bagi kerosakan serius pula, kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000.
Manakala dari segi bantuan kerosakkan kenderaan pula, pemilik Perodua dan Proton, syarikat ini menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih di samping diskaun 50 peratus ke atas alat ganti serta syarikat lain pula menyediakan perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma dan diskaun sekurang – kurangnya 25 peratus ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar.
Akhir sekali, kerajaan bersetuju untuk memberikan wang tunai sebanyak RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing-masing.
Walau pelbagai konflik yang tercetus di antara rakyat dan pihak kerajaan, kini pihak kerajaan dalam usaha sebaik mungkin dalam memulihkan hal berkenaan negara dan pelbagai rungutan rakyat adalah satu tanggungjawab yang perlu diutamakan oleh pihak kerajaan bagi memastikan keharmonian negara.