• Aliff Fikri

SAF 2022 UKM Bakal Kembali Setelah Tertangguh Akibat Pandemik

Penulis : Aliff Fikri bin Muhamad Azamuddin

Penyunting : Nurnadiah Farhana Norazmi


Sumber : Siswa UKM


BANGI, 23 MEI – Sukan Antara Fakulti (SAF) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bakal berlangsung pada 24 Jun 2022 sehingga 26 Jun 2022, merupakan kejohanan yang dinanti-nantikan oleh atlet yang terdiri daripada kalangan mahasiswa kerana terpaksa ditangguhkan hampir 2 tahun akibat peningkatan kes penularan wabak Novel Coronavirus atau COVID-19.


SAF merupakan acara tahunan UKM yang dianjurkan pada semester kedua setiap tahun yang melibatkan sebilangan besar pelajar yang menyertai pelbagai sukan seperti bola sepak, bola jaring, bola tampar dan lain-lain lagi. Kejohanan SAF ini kebiasaanya mengambil masa lebih kurang dua hingga ke tiga minggu.


Nurfarhan Aiman yang merupakan atlet pemain bola sepak bagi Fakulti Pendidikan berkata,“Walaupun kejohanan ini sudah lama tidak diadakan, namun saya tetap teruja dan ingin memberikan impak positif kepada pasukan dengan sering membuat latihan berkala seperti berjoging bagi menambah stamina.


“Sebenarnya saya agak berat untuk membuat keputusan bagi menyertai kejohanan ini. Hal ini kerana saya merupakan bekas pesakit ‘Anterior Cruciate Ligament’ (ACL) yang melarang saya untuk bermain bola secara serius kerana kecederaan ini merupakan kecederaan kekal yang mengganggu cara saya bermain secara normal walaupun saya telah menjalani pembedahan.


“Namun begitu ia tidak mematahkan semangat dan saya sudah bersedia untuk menggalas cabaran kejohanan ini dan mengharapkan tempat dalam kesebelasan utama tidak terjejas walaupun terpaksa bersaing dengan beberapa pemain senior yang lain yang lebih berpengalaman, “ katanya.


Pemain sayap pasukan bola sepak Fakulti Pendidikan, Muhammad Shahrul Ikhwan tidak menafikan dia mengharapkan keputusan yang baik di dalam kejohanan SAF akan tetapi dia juga menerima hakikat pasukan ini memerlukan masa dan usaha yang lebih untuk mencapai kedudukan terbaik dalam kejohanan ini.


"Tidak saya nafikan Fakulti Pendidikan mempunyai pasukan yang kuat dalam mewakili sesuatu sukan kerana majoriti sukan yang dipertandingkan diwakili oleh pelajar Sukan dan Rekreasi.


"Walau bagaimanapun saya dan rakan-rakan tetap ingin memberikan komitmen 100 peratus kepada pasukan dengan melakukan pelbagai latihan intensif sebagai persiapan sebelum kejohanan ini berlangsung,” tegas Shahrul.


Oleh yang demikian, rata-rata atlet yang menyertai SAF ingin memberikan persembahan yang terbaik dalam sukan yang diwakili oleh mereka dengan melakukan latihan awal bagi memastikan mental dan fizikal mereka berada di tahap yang baik sebelum kejohanan ini berlangsung.


27 views0 comments