top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Saintis Jepun Hasilkan Pelitup Muka Bersinar Kesan Covid-19

Penulis: Fitrah Kamaleea Mohd Zam

Penyunting: Nur Syazwana Abu Bakar

Sumber: Kyoto Prefectural University


TOKYO, 11 Dis - Sekumpulan saintis dari Jepun telah menghasilkan pelitup muka menggunakan antibodi burung unta untuk mengesan virus Covid-19 yang bersinar di bawah cahaya ultraungu (UV).


Menurut sebuah agensi berita Jepun, Kyodo News, penemuan oleh sekumpulan saintis di Kyoto Prefectural University yang diketuai oleh Yusahiro Tsukamoto, 52 berharap pelitup muka yang dihasilkan itu mampu menawarkan penggunaan yang mudah untuk menguji jika mereka telah dijangkiti virus Covid-19 tersebut menurut Tsukamoto dalam satu kenyataan media.


"Kita boleh menghasilkan antibodi daripada burung unta secara besar-besaran dengan kos yang rendah. Pada masa hadapan, saya ingin menjadikan pelitup muka ini sebagai kit ujian mudah yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja." kata Tsukamoto kepada Kyodo News.


Memetik laporan video daripada Reuters, teknologi pelitup muka yang diliputi oleh antibodi burung unta ini akan bersinar di sekitar kawasan hidung dan mulut sekiranya terdedah oleh virus itu apabila disinari cahaya UV.


Menurut laporan itu lagi, sekumpulan saintis Jepun berkenaan mendapat idea inovasi ini berdasarkan kajian-kajian lepas yang menunjukkan burung unta mempunyai kekuatan daya tahan terhadap penyakit berjangkit.


Tsukamoto yang merupakan seorang profesor veterinar telah mengkaji burung unta selama bertahun-tahun, mencari cara untuk menyesuaikan kuasa imuniti mereka untuk melawan selesema burung, alahan dan penyakit lain.


Yusahiro Tsukamoto di dalam laporan Reuters menyatakan pelitup muka ini mampu membantu mereka yang tidak bergejala untuk mengenalpasti sama ada mereka menghidapi virus Covid-19 dengan mudah.


Pada Februari tahun lalu, mereka telah menyuntik satu bentuk coronavirus yang tidak aktif dan tidak mengancam ke dalam burung unta betina dan berjaya mengekstrak sejumlah besar antibodi daripada telur yang dihasilkan oleh burung unta betina tersebut.


Menurut Kyodo News lagi, ternyata Tsukamoto mendapati dirinya telah dijangkiti Covid-19 apabila beliau memakai pelitup muka tersebut dan ianya bersinar di bawah sinaran UV.


Sekumpulan saintis Jepun itu juga telah menjalankan eksperimen selama 10 hari bersama 32 orang yang dikenalpasti positif Covid-19 dan mereka mendapati bahawa semua pelitup muka yang dipakai oleh mereka bersinar di bawah cahaya UV, namun beransur pudar seiring dengan berkurangnya jangkitan virus itu di dalam tubuh badan mereka.


Tsukamoto seterusnya bermatlamat untuk mengembangkan eksperimen ini kepada 150 orang pesakit Covid-19.


Tsukamoto dan para pengkaji yang lain juga berharap untuk mengembangkan lagi inovasi pelitup muka ini supaya ia akan bersinar secara automatik tanpa pencahayaan khas, jika virus itu dikesan.


Eksperimen ini akan terus dijalankan dan sekumpulan saintis berkenaan menyasarkan untuk mendapatkan kelulusan kerajaan bagi memasarkan pelitup muka tersebut yang dianggarkan bermula pada Julai 2022.

176 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page