top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Saintis UKM Cipta Papan Permainan Nutrisi

Oleh: Dina Farhana Hussain

Penyunting: Deliyana Darwes



Sumber: Facebook UKM Karier

BANGI, 24 Nov – Sekumpulan pakar dan pelajar jurusan Dietetik Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia mencipta papan permainan nutrisi bagi membantu proses pembelajaran tentang nutrisi dalam kalangan kanak-kanak serta menjadi alat membantu mengajar (teaching aid) untuk guru-guru di sekolah, pakar pemakanan dan ibu bapa.


Papan permainan nutrisi atau dikenali sebagai Galaxy Warrior ini diperkenalkan dalam pertandingan Bicara Tuntas dibawah program Job Creator: Upskilling of Future Generation iaitu program yang dianjurkan oleh Institut Pembangunan Kecemerlangan dan Kepimpinan (iLEAD) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Pusat Pembangunan Karier Universiti Kebangsaan Malaysia yang diadakan pada 16 November bertempat di Pusat Pembangunan Karier UKM.


Objektif utama papan permainan nutrisi ini diperkenalkan adalah bertujuan untuk memberi pengetahuan tentang pemakanan yang sihat dalam kalangan kanak-kanak dan datang dari sumber yang boleh dipercayai serta berkualiti.


Menurut pengasas Galaxy Warrior, Nur Azreen berkata, “berdasarkan kajian, belajar sambil bermain adalah lebih efektif bagi kanak-kanak berbanding dengan cara pembelajaran seperti ceramah pemakanan, bahan bercetak seperti buku, ianya kurang menarik perhatian kanak-kanak.


“Target sasaran papan permainan nutrisi ini adalah kanak-kanak tadika dan sekolah rendah yang sudah pandai membaca. Ianya mempunyai beberapa siri, untuk siri pertama hanya mengetengahkan masalah kekurangan pengambilan sayur dalam kalangan kanak-kanak dan siri kedua ialah mengenai kurangkan gula dalam pemakanan”.


Idea ini tercetus daripada beberapa orang pelajar dietetik sesi 2013 dan 2014 di bawah seliaan Prof Madya Dr. Zahara Abdul Manaf kemudian diambil alih oleh pelajar seterusnya iaitu Nur Azreen dan Mashitah untuk melakukan modifikasi serta menambah pelbagai elemen baru dalam papan permainan ini untuk menjadikan ianya lebih menarik dan mudah difahami kanak-kanak.


Nur Azreen berjaya meraih tempat pertama dalam pertandingan Bicara Tuntas dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM500. Beliau berharap agar dapat memasarkan Galaxy Warrior ini ke peringkat seterusnya jika mendapat modal dan kerjasama dari beberapa pihak.

99 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page