Nadi Bangi
Sakit Lutut Bukan Penghalang Untuk Ke Puncak
Oleh: Siti Masyitah Shabri
Penyunting: Amiera Hanis Hussin
Foto: Siti Masyitah Shabri

Hanisah Samad bersama suaminya, Ali Shah di Bukit Melati
NILAI, 16 Jan – Masalah sakit lutut dan kekejangan otot yang sering dihadapi Hanisah Samad, 57 bukan penghalang untuk menjadikan aktiviti mendaki bukit ini sebagai sebuah aktiviti riadah yang dijadikan rutin pada setiap pagi bersama suami dan anak-anaknya.
Meskipun sebelum ini beliau telah kerap mendapatkan rawatan di klinik dan hospital, namun masalah kesihatan yang beliau alami ini masih tidak dapat didiagnosis, menjadikan sebagai satu rintangan untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti fizikal sejak sedekad lalu.
“Saya memang selalu tak larat nak jalan lama-lama, cepat lenguh, kadang-kadang nak bangun dari duduk pun susah sangat. Tapi bila anak asyik (sering) ajak ikut naik bukit sama-sama, saya pun cuba la ikut sekali, cuma slow slow(perlahan-lahan) la.”
“Macam magic (ajaib), anak-anak pun suka dan gelakkan tengok mama dia tak sangka boleh naik turun bukit hari-hari, sebab mereka tahu keadaan mak dia macam mana biasanya kalau di rumah,” katanya.
Semenjak dari pelawaan dan dorongan anaknya untuk ikut mendaki bukit, beliau cuba untuk mencabar diri sendiri bagi melawan sakit yang dihadapinya secara beransur-ansur sehingga menjadi kebiasaan.
Sharil Jefree, 32 merupakan anak ketiga Hanisah yang mempunyai minat mendalam dalam aktiviti lasak, mengatakan setiap kali beliau mendaki gunung dan bukit, beliau pasti akan mengajak ibu, bapa dan keluarganya untuk turut serta.
“Awal-awal dulu tak sangka pun family (keluarga) nak join (serta) mendaki sekali, sebab memang jenis family(keluarga) yang kurang aktif dalam aktiviti sukan. Tapi saya selalu je (sahaja) cuba ajak mereka, sampailah satu hari tu(itu) ibu bapa dan adik beradik saya nak ikut sekali dan sejak daripada itu, saya dah jarang mendaki bukit seorang diri sebab semua ahli keluarga ikut sama dan jadi lagi seronok la,” ujar Sharil.

Ahli Keluarganya
Nadi Bangi turut sempat menemu bual suaminya, Ali Shah, 62 yang merupakan pendorong semangatnya untuk terus melakukan aktiviti mendaki bukit bagi menjaga kesihatan mereka bersama.
“Saya dah pencen. Setiap pagi selepas solat subuh di surau, saya terus bersiap bersama isteri dan anak-anak untuk mendaki gunung kerana saya percaya keseimbangan hidup dalam aspek rohani dan jasmani adalah sangat penting,” kata Ali Shah.
Beliau yakin bahawa kita perlu menjaga keseimbangan dalam aspek kehidupan bagi memastikan kebahagiaan dan kesihatan diri sentiasa terjamin tanpa mengira usia.
Hanisah merasakan bahawa kepenatan mendaki bukit biasanya akan lenyap dan menjadi satu kepuasan setelah berjaya sampai ke puncak kerana dapat melihat pemandangan yang indah ketika berada di atas bukit.
“Saya suka tengok view (permandangan) semasa di puncak. Sepanjang perjalanan mendaki, kita dapat menikmati keindahan alam oleh pencipta yang pada saya rasa tenang sangat dan merupakan satu permulaan hari yang baik,” kongsi beliau.
Di samping itu, beliau turut memberi nasihat bahawa keselamatan diri semasa mendaki adalah amat penting dengan mengetahui batas stamina diri dan pastikan pakaian yang dikenakan semasa mendaki adalah bersesuaian iaitu dengan memilih baju yang nipis dan kasut yang anti-licin.
Aktiviti mendaki bukit ini merupakan salah satu aktiviti riadah yang kurang mempunyai risiko dalam menjangkiti Covid-19 jika mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan baik.