Nadi Bangi
‘Sang Saka’ Kini Terjual Dengan Nilai RM45,000
Penulis: Aina Syahirah Haidil
Penyunting: Amirah Shahirah Sukemi

Sumber: Pentas I.O
SHAH ALAM, 3 Nov - Karya digital non-fungible token (NFT) Sang Saka edisi pertama ciptaan Konfederasi berjaya terjual pada nilai 20BNB bersamaan dengan RM45,880, sekaligus mencatat jualan tertinggi di platform Pentas IO.
Bertapak di dalam bidang kreatif sejak tahun 2013 dan dulunya dikenali sebagai pengasas jenama pakaian tempatan Lokal Brand, Konfederasi yang diasaskan oleh 4 sahabat tampil dengan projek NFT baharu pada September 2021.
Menurut penulis karya tersebut yang dikenali sebagai Haris, 32, apa yang membuatkan karya tersebut amat istimewa adalah kerana ia merupakan karya Sang Saka yang pertama di dalam siri Sang Saka.
“Karya Sang Saka pada awalnya terhasil dari satu karya kami yang dicetak di baju pada tahun 2013 yang bertajuk Kurang Ajarnya Tetap Santun yang diambil dari sajak Usman Awang.” Ujar beliau.
“Konsep awal karya-karya Konfederasi banyak direka menggunakan ilustrasi tengkorak, dan dari situ kami memberi nama karakter ini sebagai Sang Saka. Sejak mula menceburi diri dalam karya digital NFT, kami telah bersetuju untuk memilih Sang Saka sebagai template bagi Siri Sang Saka di Pentas.io.” Tambahnya lagi.
Pentas IO yang merupakan platform pasaran NFT inklusif bertujuan bagi memperkasakan pengkarya kandungan berasaskan budaya, warisan dan nilai tradisional melalui pemeliharaan aset secara digital ternyata mampu memberi nafas baharu kepada pengkarya seni tanah air.
“Secara peribadi, dunia seni dan kreatif di Malaysia telah dibuli sejak dahulu lagi. Pengkarya hasil kreatif selalu dipandang rendah oleh kebanyakan orang tempatan. Namun, kehadiran NFT telah membuka peluang yang sangat besar kepada golongan kreatif di negara ini.”
Beliau juga turut berkata, NFT telah membuka peluang untuk bangkit semula meneruskan projek ini bersama-sama setelah operasi Lokal Brand dihentikan. Konfederasi mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam tempoh 2 bulan hasil sokongan dari komuniti NFT di Malaysia.
“Dalam sebulan dua ini sahaja, sudah banyak manfaat yang dibuktikan oleh komuniti NFT di Malaysia. Kutipan derma kepada mereka yang memerlukan hasil daripada jualan karya NFT dan sokongan antara sesama pengkarya. Ramai juga yang hidupnya sudah berubah dengan NFT dalam masa yang singkat.”
Menyimpan harapan yang besar terhadap masa depan karya seni digital tempatan, mereka juga turut berharap agar dapat mendidik dan memberi pendedahan kepada lebih ramai pengkarya tempatan di luar sana melalui NFT yang dilihat lebih banyak potensi pada masa akan datang dan rugi jika peluang ini disia-siakan.
Pelbagai karya Sang Saka ciptaan Konfederasi kini boleh didapati di platform Pentas IO melalui @KonfederasiNFT buat penggemar karya digital NFT.