top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Pelajar Kembali Ke Sekolah Bermula 15 Julai

Oleh : Fauzan Ismail

Penyunting : Auzaeeatallah

Sumber: RTM

KUALA LUMPUR 1 Jul: Semua pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah akan kembali ke sekolah bermula pada 15 Julai ini didahuluii dengan Pelajar Tingkatan 1 hingga 4 serta murid Tahun 5 dan 6.


Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin, juga turut mengumumkan, pelajar Tahun 1 hingga 4 akan mula bersekolah pada 55 Julai ini.


"Tarikh pembukaan semula sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.


"Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan kementerian pula, mereka juga disaran turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan," katanya pada sidang media, di Putrajaya, hari ini.


Menurut menteri, sekolah perlu dibuka kerana kerana kaedah pembelajaran secara dalam talian ketika Pandemik COVID-19 merupakan sesuatu yang baharu bagi guru, murid dan ibu bapa. Selain itu, ramai dalam kalangan murid tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana akses kepada teknologi komunikasi yang terhad. Ini menyebabkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan Home-Based Learning agak terhad jika dibandingkan dengan kaedah secara bersemuka.


Menurutnya lagi, jika situasi ini berterusan, murid akan menghadapi kesukaran untuk mencapai tahap penguasaan minimum dalam setiap mata pelajaran yang diikuti. Ini akan memberi kesan kepada minat dan motivasi murid untuk terus mengikuti pengajaran dan pembelajaran.


Beliau juga berkata, hubungan murid dengan sekolah juga akan terkesan kerana mereka telah terasing dari suasana persekolahan untuk satu tempoh yang panjang. Beliau yakin, murid, ibu bapa dan guru menyedari betapa perlunya sekolah dibuka semula bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat.


Nadi Bangi membuat tinjauan di sekitar Dengkil untuk mendapatkan komen dari ibu bapa sekitar sini.


Menurut Jamsari, beliau merasakan satu keputusan yang wajar apabila Menteri Kanan Pendidikan mengumumkan sekolah akan mula dibuka.


“Anak-anak sudah mula sibuk dengan gajet sejak arahan PKP dikuatkuasakan, oleh itu apabila sekolah dibuka beliau rasa lega dan berharap anak-anak akan kembali berminat untuk belajar.´ujar beliau.


Bagi Nor Azlina pula, sebagai suri rumah beliau bimbang pakaian sekolah anak-anaknya perlu dibeli yang baharu kerana sejak PKP ni, semua anak-anak berada di rumah dan sentiasa menghadap makanan tanpa mengira waktu. “Masing-masing nampak semakin membulat, mana tak nya asyik makan je,” kata beliau lagi.


Nadi Bangi juga sempat mendapatkan komen dari Shahrul, seorang bapa yang juga pemandu bas sekolah melahirkan rasa syukur kerana anak-anak dapat kembali ke sekolah. Tambahnya lagi, sebagai pemandu bas sekolah, PKP adalah masa yang getir baginya yang bergantung kepada bayaran tambang untuk menyara hidup keluarga. Walau apa pun beliau tetap bersyukur dengan apa yang berlaku.

14 views1 comment
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page