top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

SEHELAI BAJU PUN TIDAK TERJUAL HARI INI

Wartawan : Liu Jiun Er

Penyunting : Amira Zulaikha Binti Saidon

Sumber: Liu Jiun Er


KEMAMAN, 11 Mei – Peniaga mengeluh tidak dapat membuat sebarang jualan walaupun sudah kembali beroperasi kerana tiada pengunjung ke kedai mereka.


Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada 18 Mac kini sudah masuk hari ke-57. Baru-baru ini semua peniaga dibenarkan berniaga seperti biasa dengan syarat menepati peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


Dapat dilihat, lokasi seperti pusat membeli-belah, pasar awam, malah di tempat kerja telah mula dipenuhi orang ramai yang keluar untuk membeli barang keperluan dan bekerja seperti dahulu.


Walau bagaimanapun, terdapat peniaga yang mengadu bahawa jumlah penjualan mereka tidak seperti dahulu lagi kerana jumlah pelanggan yang datang menurun. Peniaga-peniaga juga mengatakan bahawa berlaku senario di mana jumlah pelanggan yang memasuki kedai tidak lebih daripada 10 orang dalam sehari.


Menurut seorang peniaga di Pasar Raya Ten Ten, Kim Kok Siang, sejak jam 9 pagi hingga jam 3 petang, sehelai baju pun tidak dapat dijual.


“Jika tiada pengunjung masuk ke kedai, baju-baju dalam ni pun tidak dapat dijual. Dari pagi hingga petang ini, satu sen pun tak untung”.


“Pekerja yang bertugas di mesin juruwang pun hanya duduk dan bermain telefon pintar sahaja sebab tiada pelanggan memasuki kedai ini selama berjam-jam”.


Menurut beliau, walaupun tiada pelanggan yang memasuki ke kedai untuk membeli-belah, beliau tetap perlu beroperasi kerana pekerja-pekerjanya memerlukan gaji untuk perbelanjaan dalam kehidupan seharian.


“Daripada tidak buka langsung, baik saya buka. Mana tahu ada juga pelanggan yang ingin membeli baju raya kerana Raya Aildilfitri tidak lama lagi dah.”


Beliau juga mengatakan bahawa bidang ini agak susah jika berbandingkan dengan gerai-gerai makanan atau restoran kerana makanan merupakan keperluan asas kepada semua orang tetapi pakaian hanya sekadar kemahuan sahaja.


“Saya yakin bahawa ekonomi di seluruh dunia akan turut merosot hingga ke akhir tahun 2020 ini akibat Wabak Covid-19 yang menular di seluruh dunia.”


Seorang pekerja di pasar raya ini, Nur Shazwanie Binti Johan juga mengatakan bahawa ini merupakan kali pertama melihat tiada pelanggan langsung memasuki ke kedai untuk membeli-belah.


“Kebanyakan orang tempatan membuat keputusan untuk membeli baju raya di atas talian melalui aplikasi Lazada, Shopee, Instagram dan sebagainya kerana pilihan lagi banyak dan kini semua menawarkan free shipping kepada pelanggan”.


Keadaan ini telah membebankan para peniaga untuk terus beroperasi seperti biasa kerana perlu membayar cukai dan gaji kepada pekerjanya tetapi tidak ada keuntungan jika tiada orang yang membeli-belah di kedai tersebut.

7 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page