Penulis: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman
Penyunting: Nur Amilya Husna Kamarul Zaman
Sumber Gambar: Fahmi Reza
BANGI, 8 Nov - Isu parlimen tergantung adalah isu yang paling popular di Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-15 kerana perkara ini sendiri berlaku buat pertama kali di Malaysia.
Oleh yang demikian, Nadi Bangi telah melakukan tinjauan untuk melihat tahap kefahaman pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berkenaan isu ini.
Rata-rata responden telah mengetahui tentang parlimen tergantung iaitu situasi dimana parlimen tidak mempunyai kerajaan yang rasmi kerana tiada mana-mana parti yang bertanding memenangi majoriti mudah. Setelah empat hari Parlimen Malaysia tergantung, barulah Parlimen Malaysia secara rasmi terbentuk apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mendapat sokongan untuk membentuk kerajaan.
Menurut Alif Rosli, (Sarjana Muda Pemasaran Digital, UiTM, 3) “parlimen tergantung berlaku apabila sesebuah parti yang bertanding pada PRU 15 ini tidak mencapai majoriti mudah, seperti situasi sekarang kita mempunyai tiga penjuru dan ketiga-tiga penjuru itu tidak melebihi batas majoriti mudah iaitu 112 kerusi dalam parlimen. Oleh itu, sebarang keputusan tidak dapat dibuat”.
Namun begitu, majoriti responden mengakui bahawa ini merupakan kali pertama mereka mengetahui tentang parlimen tergantung setelah PRU 15.
Nurul Najhihah (Sarjana Muda Pendidikan Perakaunan, UPSI, 3) berkata, “PRU ke-15 ini merupakan pertama kali saya mengetahuinya terutamanya tentang parlimen tergantung yang berlaku dalam keadaan sekarang”.
Seterusnya, para responden berpendapat bahawa parlimen tergantung ini akan mendatangkan kesan yang negatif kepada ekonomi dan sosial negara.
Menurut Danial Syazwan, (Sarjana Muda Bahasa Inggeris Sebagai Komunikasi Antarabangsa, UIAM, 3),
“Ekonomi tidak dapat dikawal dengan baik disebabkan tiada satu sistem pengawalan ekonomi kerana tidak ada pemimpin yang dapat menguruskan ekonomi negara dan juga akan berlaku kepincangan dikalangan rakyat”.
Akhir sekali, jawapan yang berbeza-beza diberikan oleh responden mengenai cadangan untuk menyelesaikan isu parlimen tergantung ini.
Menurut Alif Rosli, “kerajaan perpaduan perlu dibentuk buat sementara waktu ataupun memberi tampuk pemerintahan ini kepada pihak tentera agar keharmonian dan keamanan lebih terkawal dan selebihnya diserahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan”.
Sementara itu, Danial Syazwan berkata, “Parti yang memenangi kerusi perlu mempercepatkan rundingan mereka supaya masalah ini dapat diselesaikan agar isu ini tidak berlanjutan”.
Manakala, Nurul Najhihah pula berkata, “kerajaan boleh dibentuk menerusi kerajaan minoriti dimana parti politik yang memenangi jumlah kerusi yang terbanyak boleh dibentuk dan mentadbir negara”.
Comentarios