• Nadi Bangi

Selebriti Maharaja Lawak Buka Kafe Kontena Pertama Di Kluang

Oleh: Kishan Kumar

Penyunting: Keziah Shamma


Foto: Kishan Kumar


KLUANG, 4 April - ‘Port’ lepak baharu bersama rakan-rakan dan keluarga yang baru dibuka kepada orang awam milik bintang Maharaja Lawak Mega, Shahrol Shiro yang berkonsepkan kafe kontena moden dan taman tema yang pertama di bandar Kluang telah mendapat sambutan tinggi dan kini menjadi daya tarikan di Kluang.


Kafe tersebut yang lebih dikenali dengan nama uniknya iaitu ‘Ngepot Kabin’ bermaksud tempat makan dan santai. Pemilik kafe ini adalah pelawak dan pelakon komedi terkenal di Malaysia iaitu Shahrol Azizie bin Azmi atau lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro yang berumur 36 tahun berasal dari Kluang, Johor. Beliau merupakan pelakon, pelawak dan penyanyi yang mula aktif dalam dunia hiburan sejak tahun 2012. Antara pencapaian tertingginya adalah Johan Maharaja Lawak Mega 2018 dan beliau telah mendapat Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2017 sebagai artis komedi popular di Malaysia manakala pengurus bagi Ngepot Kabin merupakan Am Ketampi yang juga merupakan pelawak tanah air yang juga telah menyertai Maharaja Lawak 2019.


Menurut Shahrol Shiro, beliau memperoleh idea untuk memulakan kafe yang berkonsep seperti ini kerana beliau tertarik dengan konsep medan selera yang moden dan unik di Kuala Lumpur seperti ‘The Podium’ dan ‘Lepaking’ yang selalunya mendapat perhatian orang ramai kerana suasana dan konsepnya yang urban sehingga ia berjaya menarik perhatian beliau untuk membuka Ngepot Kabin.


“Saya memilih Kluang sebagai lokasi pertama untuk membuka Ngepot Kabin kerana saya merupakan anak jati Kluang dan saya inginkan tempat yang saya lahir terus maju ke hadapan. Tambahan lagi, jumlah penduduk Kluang yang ramai dan penduduknya yang lebih gemar terhadap makanan antara salah satu sebab saya pilih daerah Kluang sebagai lokasi utama. Selain itu, kafe ini dibuka bertujuan untuk menjadikan satu mercu tanda baru Kluang dan memberi peluang kepada usahawan-usahawan muda menghadapi kesulitan menjana pendapatan di kala pandemik COVID-19 ini” tambahnya lagi.


Menurut Am Ketampi pula, daya tarikan Ngepot Kabin adalah dari segi kreativiti struktur pembinaannya yang menggunakan enam buah kontena, yang dipasangkan dan disusun secara bertingkat, membahagikan kedai makanan di tingkat bawah dan kedai-kedai yang menjual aneka barangan dan menyediakan pelbagai servis di tingkat atas. Terdapat lapan kedai di tingkat atas, antaranya kedai gunting rambut, kedai barangan kosmetik dan pakaian wanita dan sebagainya manakala tingkat bawah dipenuhi dengan sembilan buah kedai makanan yang menjual beraneka jenis juadah yang berbeza-beza, memberi pelbagai pilihan kepada para pengunjung mengikut cita rasa dan selera masing-masing. Menurut beliau lagi, setiap perniagaan di Ngepot Kabin dipilih dari kalangan 300 permohonan yang beliau terima sebelum pembukaan Ngepot Kabin.


Wartawan Nadi Bangi berpeluang menemubual beberapa pelanggan Ngepot Kabin antaranya, Nur Atiqah Binti Abu Shah, 25 yang sudahpun melawat Ngepot Kabin sebanyak tiga kali.


“Saya suka datang Ngepot Kabin kerana terdapat banyak makanan enak untuk dipilih daripada deretan kedai makanan yang ada di sini. Saya juga sangat suka akan pemandangan sekelilingnya yang terbuka dan nyaman serta mereka juga ikut akan SOP yang ditetapkan yang membuatkan saya rasa lebih selesa melawati tempat ini".


Muhammad Arfan Hazwan Bin Ismail, 22 pula, yang baru melawat kabin ini buat kali pertamanya berpendapat bahawa tempat ini sesuai dijadikan sebagai port lepak baru bersama rakan-rakan.


“Makanannya sedap dan harganya tak mahal, lagipun, saya datang sini untuk tengok permainan bola sepak sebab mereka ada skrin yang besar dan best disediakan di sini” tambahnya lagi.


Menurut Shahrol Shiro beliau menggunakan ‘Dino Park’ sebagai satu kaedah yang efektif untuk menarik perhatian pelanggan kerana beliau mendapati bahawa tidak ada tarikan pengunjung yang kreatif seperti Dino Park ini di Kluang. Namun begitu, Dino Park tidak akan menjadi penambahan yang tetap kepada Ngepot Kabin, sebaliknya ia hanya akan dibuka sekali selama tempoh dua minggu pada setiap tiga bulan. Beliau menambah lagi bahawa selain, memberi ruang kepada kedai makanan, barangan dan servis, ruang untuk membuat persembahan secara langsung kepada artis muda turut disediakan di Ngepot Kabin sebagai suatu usaha untuk menarik lebih ramai pelanggan di samping membantu usahawan serta bakat-bakat muda yang baru.


Nicholas Mark Netto, 22, pelawat Dino Park yang sempat ditemubual oleh wartawan Nadi Bangi, apabila ditanya tentang pendapat beliau akan taman tema ini berkata bahawa beliau suka akan pameran yang disediakan secara keseluruhannya.


“Namun begitu, ruangnya agak sempit, jika diluaskan sedikit ia mungkin dapat memudahkan pelawat untuk bergerak bebas di dalam taman tema ini” tambahnya lagi.


Pada akhir temubual bersama Nadi Bangi, Shahrol Shiro menyatakan bahawa beliau berhasrat untuk membuka lebih banyak cawangan Ngepot Cabin di sekitar Malaysia untuk meluaskan perniagaannya di samping membuka lebih banyak peluang kepada usahawan muda pada masa akan datang.

316 views0 comments

Related Posts

See All