Nadi Bangi
Seni Batik Menjadi Daya Tarikan Baharu Pasar Seni
Penulis: Muhammad Danish Muqrieyz Jamaluddin
Penyunting: Mohamad Ameruddin Mohamah Nor
Foto: Muhammad Danish Muqrieyz Jamaluddin

KUALA LUMPUR, 9 Nov – AINNA Artwork memberikan perkhidmatan lukisan seni batik yang kini menjadi daya tarikan baharu kepada pengunjung yang mengunjungi Pasar Seni tak kira daripada dalam negara ataupun luar negara Malaysia.
Seni batik merupakan salah satu warisan budaya Melayu yang dahulunya hanya digunakan atau dipakai oleh golongan dewasa. Kini, bagi mereka yang menetap di Kuala Lumpur dan mahu mempelajari seni batik ini tidak lagi perlu bersusah payah untuk ke negeri Kelantan mahupun Terengganu, kerana orang ramai boleh mempelajarinya di tengah bandar Kuala Lumpur.
Pemilik perniagaan seni lukisan batik AINNA Artwork, Mohd Nabil Iqbal, 32, menyatakan bahawa beliau memulakan perniagaan pada tahun 2012 dan bekerja di sebuah perniagaan milik ibu saudara kepada isterinya iaitu Cwoks Design yang juga membuat lukisan batik. Mereka memulakan perniagaan mereka sendiri di Central Market selepas ibu saudara isterinya telah menjual salah satu cawangan lukisan batik ini kepada mereka.
“Perniagaan yang dijalankan kini menjual souvenir batik, lukisan batik, mengadakan bengkel mewarna batik, bengkel mencanting batik dan juga menerima tempahan lukisan batik. Harga untuk mewarna batik itu bermula dari RM15-RM30 mengikut saiz yang tersedia”, ujar Nabil.
“Pada permulaan kami hanya menggunakan laman media sosial Facebook dan juga Instagram sahaja dan target customer kami mostly tourists. Pada masa yang sama, kami juga cuba untuk mempelbagaikan lagi design-design yang sedia ada untuk tarik lebih ramai pelanggan local terutamanya”. - kata Nabil ketika ditanya bagaimana beliau mempromosikan perniagaan.
Menurut Nabil juga, ketika bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh Malaysia untuk mengekang penularan wabak Covid-19, beliau agak risau tentang bagaimana perniagaan ini akan bertahan kerana premis perniagaan miliknya terpaksa ditutup dalam jangka masa yang agak lama.
“Kami agak risau dengan situasi perniagaan kami selepas peningkatan kes Covid dan juga apabila PKP dilaksanakan tetapi selepas viral video pasangan couple yang datang ke kedai untuk mencuba lukisan batik, alhamdulillah sekarang ramai pelanggan terutamanya dari golongan muda yang datang ke kedai untuk mencuba melukis batik sehingga sekarang”. - kata Nabil
Firdaus Akmal, 23, merupakan salah seorang pelanggan yang mengunjungi perniagaan AINNA menyatakan bahawa ia menjadi pengalaman yang baru dan menarik dalam hidup beliau ketika mengunjungi perniagaan seni batik yang terletak di kawasan daya tarikan pelancong itu.
“Saya mula mengetahui tentang perniagaan mewarna batik ini sebab saya ada terlihat di satu posting di Tiktok tentang sepasang couple yang datang sini. So lepas tengok video tu saya macam berminat, harini saya ajak kawan-kawan untuk mencuba sendiri mewarna batik dekat sini”, kata beliau.
“Saya dan isteri memang ada plan untuk kembangkan perniagaan ni, tapi buat masa sekarang maybe kami akan maintain dulu perniagaan kami kerana risaukan keadaan Covid sekarang”, ujar Nabil. Beliau turut berharap bahawa pada masa akan datang orang ramai akan lebih berminat dan menghargai seni batik dan juga tahu menilai seni kraf tradisi yang lain.