top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Separuh Penumpang Dalam Satu Masa

Oleh: Yusliana Yusoff

Penyunting: Zulaikha Hisham



Sumber: Astro Awani


BANGI, 6 Mei - Muatan penumpang akan dikurangkan kepada separuh daripada kapasiti sebenar di dalam satu masa bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi apabila pengangkutan awam dibenarkan beroperasi seperti sedia kala sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan mulai 4 Mei kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sidang akhbar yang berlangsung di Putrajaya 3 Mei yang lalu.

PKPB yang telah dilaksanakan mulai 4 Mei 2020 telah menjadikan beberapa sektor pekerjaan awam dan swasta sudah mula beroperasi secara berperingkat dan menjadikan masyarakat kembali menggunakan kenderaan awam seperti LRT (Transit Aliran Ringan) dan MRT (Transit Aliran Massa).


Menurut Ismail lagi, hanya 20 orang penumpang sahaja dibenarkan berada di dalam bas awam di dalam satu masa jika kapasiti sebenar penumpang sebuah bas adalah 40 orang. Begitu juga dengan kenderaan awam yang lain seperti MRT dan LRT di mana hanya separuh daripada penumpang sahaja dibenarkan di dalam setiap gerabak.


"Penjarakan sosial ini bukan sahaja dalam kenderaan awam tetapi juga di tempat-tempat menunggu seperti stesen bas, LRT, MRT dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa hari yang lepas.


“Barisan hadapan negara seperti pasukan keselamatan, anggota polis dan tentera juga akan menjalankan tugas dalam memantau keadaan di lapangan bagi memastikan langkah-langkah keselamatan dipatuhi sepenuhnya,” jelas Beliau.


Bagi kenderaan persendirian pula, hanya empat orang penumpang sahaja dibenarkan di dalam satu kenderaan dan penumpang tersebut mestilah daripada ahli keluarga atau isi rumah yang sama.


Masyarakat digesa untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi memastikan amalan penjarakan sosial dipatuhi untuk mengelakkan lagi penularan wabak Covid-19 dan sesiapa sahaja yang ingkar dengan arahan yang diberikan akan dikenakan tindakan.

27 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page