top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Sijil Vaksinasi Palsu Membolehkan Golongan Antivaksin Menjalani Umrah

Penulis: Shaffiq Fauzan Nusi

Penyunting: Thor Zhi Xin

Sumber: Sinar Harian


Pada 5 Januari yang lalu, kita digemparkan dengan isu jemaah umrah yang baru pulang dari menjalani umrah dikatakan tidak mempunyai sijil vaksinasi yang sah dan ada diantara jemaah yang terlibat juga didapati positif virus Omicron. Berita ini telah menimbulkan persoalan tentang sejauhmanakah penguatkuasaan yang ada di pintu masuk lapangan terbang yang menerima jemaah Umrah tersebut dan bagaimana jemaah Umrah yang mempunyai sijil vaksinasi palsu ini boleh terlepas walaupun kita sedia maklum bahawa prosedur yang sedia ada ketika hendak ke luar negara ini adalah ketat.


Menurut pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun yang dipetik dari utusan, isu paling besar dapat dilihat ia memberi risiko kepada individu terbabit kerana vaksin sebenarnya bertujuan untuk mengurangkan komplikasi jika dijangkiti virus Covid-19. “Sekiranya hal ini terus berlanjutan, akan ada kemungkinan kerajaan akan menyenarai hitam Malaysia selepas ini dan tidak membenarkan rakyat kita untuk melakukan umrah” katanya.


Pengambilan vaksin merupakan satu kewajipan kepada seluruh rakyat di setiap negara bagi membenarkan mereka untuk menjalani kehidupan harian dengan menunjukkan sijil vaksinasi yang terdapat di dalam aplikasi MySejahtera ataupun sijil vaksinasi yang telah diberikan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika mengambil vaksin yang pertama.

Sumber: Instagram


Ada juga isu yang melibatkan seorang individu yang bertanggungjawab dalam membawa Jemaah Umrah ke Arab Saudi iaitu Ustaz Abu Syafiq, mengakui bahawa dia tidak divaksin dan membawa orang yang tidak divaksin untuk menjalani Umrah. Di dalam Instagramnya, dia menyatakan bahawa di mengaku yang di tidak divaksin dan membawa jemaah yang tidak divaksin untuk ke Arab Saudi. Dia juga menyatakan bahawa dia tidak mengambil vaksin kerana dia beranggap bahawa vaksin ini akan mencapai tahap di mana ia akan tamat tempoh dan menjadi mata wang pencarian bagi pihak yang bertanggungjawab dalam aktiviti pemberian vaksin ini.


Pada 10 Disember 2022, polis juga berjaya menangkap seorang Doktor lelaki berusia 51 tahun yang telah menjalankan aktiviti pemalsuan sijil vaksinasi Covid-19 yang bernilai hampir sejuta ringgit untuk diberikan kepada golongan anti-vaksin di sebuah klinik swasta di Marang. Sijil vaksinasi yang dikeluarkan olehnya dijual pada harga RM400-500 untuk setiap satu sijil vaksinasi palsu tersebut. Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau meminta pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci dalam kes berkenaan dan membawa semua yang terlibat ke muka pengadilan. “Saya mahu penguatkuasaan undang-undang sepenuhnya ke atas mereka dan saya mahu pastikan mereka sedar ada had bila tiba tentang keuntungan yang menjejaskan kehidupan orang ramai” katanya.


Kesan Tidak Mengambil Vaksin

Vaksin Covid-19 yang kini menjadi suatu keperluan kepada rakyat dalam memutuskan rantaian wabak pandemik ini bertujuan untuk mengurangkan risiko dalam penularan virus berjangkit kepada diri sendiri dan orang lain. Menurut Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), penerima vaksin Covid-19 masih boleh dijangkiti wabak Covid-19 ini di dalam badan tetapi kuantiti virus dalam badan pembawa adalah sedikit sekali gus menyebabkan kadar keberjangkitan menjadi semakin rendah.


Bagi rakyat yang tidak mahu untuk mengambil vaksin ataupun digelar sebagai Anti-Vaksin­ ia merupakan satu kekurangan bagi mereka kerana mereka tidak dapat menjalankan aktiviti harian mereka kerana mereka tidak dapat melampirkan sijil vaksinasi mereka. Jadi, untuk melepaskan diri daripada terus disekat untuk ke tempat-tempat yang ingin mereka kunjungi, mereka membuat keputusan untuk mencari pihak yang boleh memberikan mereka sijil vaksinasi palsu.


Perbuatan memalsukan sijil vaksinasi Covid-19 ini jelas akan mendatangkan pelbagai masalah kepada rakyat dan negara. Antaranya ialah individu yang mempunyai sijil vaksinasi palsu yang berjalan-jalan dengan bebas akan menyebabkan penyebaran virus akan berlaku dan kemungkinan untuk dijangkiti juga adalah amat tinggi. Hal ini akan menyebabkan golongan antivaksin akan menjadi punca utama dalam peningkatan kes virus Covid-19 di negara kita.


Fakta Mengenai Anti Vaksin

Rata-rata penduduk di dunia tidak terkejut dengan adanya golongan yang menolak sekeras-kerasnya segala isu yang berkaitan dengan vaksin dan mereka digelar sebagai antivaksin. Menurut Dr Johari Yap iaitu Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, pengambilan vaksin bukanlah perkara yang baru kerana di Malaysia, bayi berusia sembilan bulan disuntik dengan vaksin campak, beguk dan rubella (MMR). KKM juga menyediakan perkhidmatan imunisasi untuk difteria dan kancing gigi (tetanus) bagi murid Tahun Satu, Human papillomavirus (HPV) bagi pelajar perempuan Tingkatan Satu dan ATT (dos tambahan vaksin tetanus) bagi pelajar Tingkatan Tiga.


Golongan antivaksin ini akan sedaya upaya untuk menyeru ramai lagi orang untuk tidak menerima dan mengambil vaksin dengan menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkenaan dengan vaksin. Antara isu yang pernah tular yang disebarkan oleh golongan antivaksin ini ialah isu badan kita akan menerima rangkaian 5g sekiranya kita mengambil vaksin. Perkara ini ditolak sekeras-sekerasnya. Menurut Felo Penyelidik Universiti Malaya yang juga ahli Pertubuhan Sahabat Sains Malaysia, Dr Abdul Halim Poh, teknologi 5G dan gelombang tidak boleh mengawal manusia kerana ia memerlukan teknologi yang dapat mengakses kepada objek yang boleh mengawal secara tanpa wayar.


Pada pendapat penulis, kelemahan sistem yang berlaku selepas kejadian jemaah Umrah yang terlepas tanpa sijil vaksinasi sah ini harus diperbaiki dan diperketatkan pada masa akan datang. Sekiranya hal ini tidak dititikberatkan oleh pihak berkuasa, ini akan menyebabkan golongan antivaksin ini akan terus membeli sijil vaksinasi palsu dan keluar berjalan-jalan tanpa rasa prihatin terhadap orang sekitar. Penguatkuasaan undang-undang juga harus diperketatkan lagi terhadap individu yang terlibat di dalam menjual dan membeli sijil vaksinasi palsu ini.

153 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page