• Nadi Bangi

Sikap Masyarakat Malaysia Menghadapi COVID-19


Oleh: Fauzan Ismail

Penyunting: Auzaee Athallah

Sumber: Harian Metro


COVID-19, juga dikenali sebagai pandemik koronavirus 2019–2020 ialah wabak penyakit koronavirus 2019 yang menular berterusan secara global berpunca daripada sindrom pernafasan akut teruk koronavirus 2 (SARS-CoV-2). Wabak ini pada mulanya dikesan di pertengahan Disember 2019 di bandaraya Wuhan, Hubei China, dan telah diiktiraf sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020. Sehingga 20 Mac, lebih daripada 246,000 kes COVID-19 telah dilaporkan dalam sekurang-kurangnya 180 negara dan wilayah, menyebabkan lebih daripada 10,000 kematian dan 87,000 pulih. Kini, virus COVID-19 telah menular ke Malaysia.


Sehingga 25 Feb 2020 jam 1.45 petang kes berkaitan COVID-19 terus menigkat. Terdapat seramai 1796 orang telah sah dijangkiti virus tersebut. Manakala 2118 orang lagi dalam perhatian. Dari jumlah yang disahkan, 183 orang telah pulih sepenuhnya dan 64 orang lagi telah berada Unit Penjagaan Intensif (ICU). Jumlah kematian pula meningkat setiap hari sehingga mencapai 17 orang.


Persoalannya, kenapa penularan COVID-19 terus meningkat? Adakah sikap rakyat sendiri yang kurang mengambil berat mengenai saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi punca penularan itu.


Virus COVID-19 disebarkan melalui titisan cecair atau 'droplet' yang terhasil daripada percikan air liur ketika bercakap atau batuk dan bukannya secara bawaan udara atau 'airborne'. Pihak KKM telah menasihatkan orang ramai agar mematuhi jarakan sosial supaya terhindar daripada risiko dijangkiti virus itu.Sehingga kini, penularan virus nampaknya belum ada tanda-tanda akan berakhir dalam tempoh terdekat ini.


Bagi mengawal penularan virus tersebut, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Mac telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama bermula 18 Mac sehingga 31 Mac, dan sekali lagi tarikh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 1 April sehingga 14 April. Perintah ini bermaksud, seluruh rakyat Malaysia dilarang melakukan pergerakan dan perhimpunan termasuk majlis perkahwinan dan upacara keagamaan bagi memutuskan jaringan hubungan social yang memungkinkan penularan virus ini.


Dalam tempoh PKP masih terdapat pihak yang masih berdegil, melakukan majlis keramaian seperti kenduri dan keluar ke tempat awam seperti tiada apa-apa yang berlaku. Sumber dari Sinar Harian Online pada 22 Mac mengatakan kira-kira 10 peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia dianggap degil dan gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan walaupun ia sudah dikeluarkan hampir seminggu. Petikan dari Berita Harian Online 25 Mac melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berasa kesal apabila masih ramai yang gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dengan keluar dari rumah masing-masing tanpa alasan munasabah. Kita juga dapat melihat banyak video tular mengenai kedegilan orang awan yang enggan mematuhi arahan pihak berkuasa sehingga ada yang perlu disuraikan secara paksa. Terdapat juga video majlis kenduri keraian yang dirakam dan ditularkan seolah-olah mencabar pihak berkuasa.


Ijtimak Tabligh turut menarik perhatian umum kerana ramai dikalangan mereka didapati positif COVID-19.Ramai Jemaah tabligh enggan menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti kewujudan virus tersebut. Tetapi akur selepas pucuk pimpinan menggesa semua ahli jemaah tabligh daripada 28 markas di seluruh negara supaya bertanggungjawab dan mematuhi arahan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan segera bagi membendung penularan COVID-19 seperti dilapurkan Berita Harian online.


Akibat dari kedegilan mematuhi arahan tersebut, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diarahkan untuk membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan kawalan lebih tegas bagi memastikan orang awam berada dirumah setiap masa kecuali atas keperluan yang munasabah.


Berdasarkan kenyataan-kenyataan tersebut, dapat dirumuskan, punca penularan disebabkan oleh kurangnya kesedaran dikalangan orang awam mengenai COVID-19. Malah, ada yang mengambil mudah mengenai hal berkaitan kesihatan. Masyarakat harus bersama membantu dan cakna mengenai perkembangan dan arahan yang telah dibuat oleh Kerajaan Malaysia serta terus memberi sokongan atas apa yang dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkuasa dalam menangani isu besar ini. Covid-19 mampu tersebar melalui perhubungan masyarakat maka, hanya masyarakat yang mampu menyelesaikannya.

181 views0 comments

Related Posts

See All