top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Sistem RFID Perlu Stabil dan Efisien Jika Dilaksanakan Sepenuhnya

Updated: Jan 10, 2022

Penulis: Amirah Shahirah Sukemi

Penyunting: Aina Syahirah Haidil


Sumber: Google


Sistem pembayaran tol semakin hari mengalami perubahan dari tahun ke tahun seiring dengan perkembangan teknologi, bermula dari pembayaran secara wang tunai kemudian beralih kepada penggunaan kad pintar elektronik Touch ‘n Go dan penggunaan Sistem Pembayaran Automatik Rangkaian Tol Smart Tag dan kini sistem pembayaran tol akan beralih kepada sistem RFID seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) pada 16 Disember lalu, namun sistem ini masih belum cukup stabil dan efisien untuk dilaksanakan sepenuhnya kerana masalah teknikal masih berlaku kepada pengguna jalan raya di lorong tol RFID.


RFID iaitu Radio Frequency Identification merupakan pelekat berteknologi tinggi yang membolehkan pengguna kenderaan tidak perlu berhenti di lorong tol dengan kelajuan 30km/j atau 35km/j serta membolehkan pengguna melakukan transaksi tol tanpa sentuh. Pelekat ini juga dikenali sebagai tag RFID yang dalamnya dibenamkan dengan cip frekuensi radio yang dilekatkan pada cermin hadapan atau cermin lampu hadapan kenderaan dan apabila kenderaan melalui tol pengimbas, frekuensi radio pada pelekat RFID akan dibaca kemudian bayaran tol akan ditolak dari Touch n Go E-wallet yang digunakan sebagai pautan kepada pelekat RFID.


Menerusi makluman kenyataaan dari Kementerian Kerja Raya (KKR), pelaksanaan transaksi tol sistem RFID di seluruh plaza tol akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Januari 2022 dan penggunaan sistem transaksi tol RFID ini adalah langkah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di plaza tol selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar.


Kelebihan Beralih kepada Penggunaan Pelekat RFID

Hidup di zaman teknologi ini, memerlukan kita menambah dan menaik taraf plaza tol seiring dengan perkembangan yang berlaku. Penggunaan sistem RFID ini mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas seperti yang dimaklumkan oleh KKR kerana pengesanan RFID yang cepat dan pantas mampu memberi pengalaman dan kelancaran kepada pengguna jalan raya pada masa akan datang.


Sumber: Google


Penggunaan sistem pelekat RFID mempunyai kos yang lebih murah berbanding penggunaan Smart Tag. Pembelian alat peranti Smart Tag agak mahal iaitu dalam lingkungan harga RM135 hingga RM235 berbanding penggunaan pelekat RFID yang hanya berharga RM35 sahaja dan pelekat RFID juga memudahkan pengguna kerana tidak perlu menukar bateri.


Bukan itu sahaja, menurut Sufi yang merupakan pengguna tag RFID, dari hantaran di laman Twitternya beliau menyatakan bahawa kecanggihan sistem pelekat RFID juga mampu mengelakkan kecurian kereta kerana ketika mengaktifkan tag RFID, kita diminta untuk meletakkan nombor plat kereta dan jika kereta dicuri kita boleh menelefon nombor careline untuk menyahaktifkan tag RFID tersebut untuk mengelakkan kereta tersebut dari melalui tol”. Jadi pada pandangan penulis, pelekat RFID memberi banyak kelebihan dan keistimewaan kepada pengguna dengan adanya teknologi cip frekuensi radio yang canggih pada pelekat tersebut.


Tahap Keefisienan Sistem RFID Perlu Dibaiki

Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR) lagi, penggunaan Touch ‘n Go dan Smart Tag yang dihentikan secara berperingkat adalah untuk memberi ruang kepada pembukaan lebih banyak lorong RFID sebelum sistem transaksi tol RFID dilaksanakan sepenuhnya.


Walau bagaimanapun, untuk melaksanakan sistem RFID secara menyeluruh, pihak kerajaan harus memperkemas dan meningkatkan tahap keefisienan sistem RFID ini kerana sistem RFID yang dilaksanakan sekarang ini jelas sekali mempunyai kelemahan. Pengguna jalan raya juga menuntut supaya pihak kerajaan memperbaiki tahap pengesanan dan pembacaan yang kurang stabil di plaza tol jika mahu menghapuskan penggunaan Touch ‘n Go sepenuhnya.


“Tingkatkan dulu sistem RFID jika mahu mansuhkan penggunaan Touch ‘n Go sepenuhnya, kerana ramai yang sangkut di tol apabila sistem RFID tidak dapat dibaca kerana ia menyusahkan pengguna” hasil ciapan @anticytro_jkom.


Menurut @nurhyany01 pula jika mahu menghapuskan penggunaan Touch ‘n Go, sensor sistem RFID harus dipertingkatkan kerana banyak berlaku di laluan tol, kereta sering ke depan dan ke belakang akibat sistem RFID tidak dapat dibaca.


Bukan itu, sahaja terdapat juga pengguna yang mahu sistem tapping Touch ‘n Go untuk dikekalkan kerana risau akan sistem RFID yang tidak dapat berfungsi dengan baik memaksa mereka mengundur kereta di plaza tol dan sekaligus hal ini boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas.


Dari ciapan Ain Zulaikha di Twitter, beliau lebih menyukai penggunaan Touch ‘n Go berbanding RFID kerana banyak kereta yang berada di tol terpaksa mengundur semula kereta mereka akibat sistem tidak dapat membaca atau mengesan pelekat RFID.


Sebagai kesimpulan, penulis berpendapat tindakan kerajaan untuk melaksanakan sistem transaksi tol RFID sepenuhnya adalah satu langkah yang bagus dalam membawa kepada perubahan sistem pembayaran tol di negara ini sesuai dengan rancangan kerajaan untuk merealisasikan Sistem Laluan Terus Pelbagai Lorong (MLFF) seperti yang dilaksanakan di negara lain. Namun kerajaan wajib mempertingkatkan sistem RFID ini agar sistem ini dapat bertindak dengan lebih efisien dan efektif supaya di masa hadapan sistem yang dilaksanakan tidak menyusahkan pengguna jalan raya disebabkan masalah teknikal yang berlaku.

75 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page