top of page
  • Writer's pictureIzzah Atirah

Siti Rahayu Membeli Jiwa Kanak-Kanak Buku Jalanan Chow Kit

Penulis: Nur Izzah ‘Atirah Abdul Rahim

Penyunting: Ainul Salsabila Aidi


Sumber: BJCK.co


Masyarakat memandang kanak-kanak jalanan sebagai kanak-kanak kurang bernasib baik dalam pelbagai sudut. Beranggapan mereka selalu mengemis, bekerja di pasar malam, berkeliaran tanpa hala tuju serta sering menimbulkan masalah sudah sebati di fikiran masyarakat kita. Namun, Apakah pendekatan sesuai untuk menarik minat mereka? Adakah mereka tidak setaraf untuk diberikan pendedahan ilmu pengetahuan?


Itu adalah antara persoalan yang timbul di kalangan masyarakat. Barangkali jawapan yang paling kerap akan didengari adalah mereka layak menerimanya dan kanak-kanak ini juga memerlukan pendidikan yang baik bagi memastikan mereka tidak terus terpinggir dalam ilmu pengetahuan.


Tapi tidak semua kanak-kanak jalanan di satu kawasan Kuala Lumpur yang terkenal dan sering dikatakan sebagai tempat gelap dan tiada masa hadapan ini tidak bernasib baik kerana mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Inilah yang terjadi bagi kanak-kanak jalanan di Buku Jalanan Chow Kit dimana nasib mereka akan sentiasa terbela.


Pembelajaran di jalanan. Bunyi kedengaran pelik tapi itu yang harus diberikan kepada kanak- kanak untuk membentuk corak pemikiran sosialisasi mereka.


Dikenali oleh masyarakat iaitu Buku Jalanan Chow Kit ditubuhkan pada 2016 adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang bertujuan untuk menyediakan peluang pendidikan kepada kanak-kanak di Chow Kit terutamanya di lorong Haji Taib.


Buku Jalanan Chow Kit bukan sahaja menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada mereka yang kurang bernasib baik malah ia sekaligus menjadi tempat pergantungan anak-anak jalanan di sekitar kawasan Chow Kit.


Penulis berpeluang menemu ramah Pengasas Buku Jalanan Chow Kit, Siti Rahayu Baharin. Pengalaman yang menarik dikongsikan oleh Siti Rahayu dalam menjadi sukarelawan pendidikan di Buku Jalanan Chow Kit.


Pendekatan dalam menarik minat kanak-kanak jalanan

‘Kunci asas pembelajaran hadir daripada perhubungan yang kuat’ itulah kata-kata yang sering diungkap oleh Rahayu bagi mendekati kanak-kanak jalanan disini.


Menurut Rahayu, untuk menarik perhatian mereka kita harus membeli ‘jiwa’ kanak-kanak ini dengan niat yang ikhlas dalam usaha membentuk mereka menjadi insan yang berguna.


“Kanak-kanak jalanan Chow Kit bukan kanak-kanak miskin yang memerlukan bantuan makanan semata-mata,” demikian Rahayu berkata penuh mesra.


“Namun mereka perlu diberi perhatian dari sudut pendidikan kerana kanak-kanak ini dalam fasa perkembangan umpama bunga yang sedang mekar dan kami adalah baja untuk memekarkan bunga tersebut.


“Kita mahukan kanak-kanak disini merasa diri mereka diterima dan dihargai. Oleh itu, pendekatan yang sesuai digunakan bermula dengan niat yang baik untuk memberikan pendedahan yang sama seperti kanak-kanak yang lain.”


Tambahan beliau, kanak-kanak jalanan di Chow Kit adalah dalam kalangan kanak-kanak yang hebat kerana keinginan mereka dalam menimba ilmu pengetahuan sangat tinggi sehingga mereka tidak perlu dipaksa untuk belajar.


Siti Rahayu menegaskan kepada semua, Kita harus mempersiapkan diri dahulu dari sudut kelengkapan pengetahuan serta mempunyai sifat empati terhadap kehidupan mereka sebelum mempunyai keinginan untuk melakukan apa-apa perkara untuk kanak-kanak ini.


“Sebelum membantu mereka, kita sebagai manusia perlu meletakkan diri dalam situasi orang lain bagi mendalami kehidupan kanak-kanak ini, di samping memberi pendekatan ilmu pengetahuan yang berkualiti.” kata Rahayu ketika ditemubual.


BJCK sebagai tempat perlindungan

Kanak-kanak jalanan Chow Kit bukanlah seteruk seperti yang digambarkan oleh masyarakat kita kerana mereka masih mempunyai keluarga dan tempat tinggal namun disebabkan kesalahan kedua ibu bapa yang sering membiarkan anak-anak tanpa jagaan yang rapi, mereka dipandang serong oleh masyarakat.


Siti Rahayu juga sempat mengatakan bahawa kanak-kanak disini tidak mempunyai pengalaman buruk untuk diceritakan.


Namun begitu, beliau sempat berkongsi satu pengalaman yang terjadi dimana baru-baru ini salah seorang anak jalanannya telah ditangkap dan digari oleh pihak polis kerana salah faham dan menganggap anak jalanan itu seorang dewasa kerana bertubuh besar.


Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) polis yang kerap membuat rondaan telah terjah di pasar awam dan mendapati ada sekumpulan warga asing disitu, kebetulan semasa kejadian tersebut anak jalanan ini sedang membantu ayahnya berniaga yang merupakan warga asing.


“Sejurus digari dia sempat menelefon saya dan memberitahu bahawa dia telah digari lantas dari itu saya bergegas di tempat kejadian untuk menyelesaikan masalah. Pelbagai rintangan yang dihadapi untuk menyelamatkannya dan akhirnya berjaya dilepaskan.”


Mahupun begitu, beliau berasa kecewa kerana selepas kejadian, anak jalanan ini telah mengalami demam panas dan trauma yang serius berikutan kesan daripada tangkapan tersebut sehingga dia diberikan sesi kaunseling untuk memulihkan keadaannya.

Buku Jalanan Chow Kit bukan hanya tertumpu kepada kanak-kanak jalanan itu sahaja malah mereka turut membantu dan berhubung dengan keluarga mereka serta menjadi sebuah perlindungan buat mereka.


Pendidikan untuk semua

Apabila ditanya penulis mengenai kegembiraan, terserlah senyuman manis di wajah Siti Rahayu lantas beliau berkongsi kisah pengalaman beliau bersama salah seorang anak jalanannya. Sarah yang merupakan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun tetapi dia telah mula sesi persekolahan sejak usianya 10 tahun. Namun demikian, tahap kepintaran dan kebolehan anak ini dalam menimba ilmu melebihi dari jangkaun usianya.

“Sarah adalah kanak-kanak pintar dan hebat. Walaupun baru berusia 12 tahun dia sudah boleh mengikuti pelajaran di peringkat menengah di mana dia telah mengikuti pelajaran silibus pelajar tingkatan dua,” katanya penuh mesra.


Siti Rahayu menambah kenyataannya dengan menyatakan bahawa kanak-kanak jalanan ini adalah insan yang sama seperti kita mereka berhak mendapat kehidupan dan kebahagian yang sempurna seperti kanak kanak yang lain. Hanya kita semua harus memainkan peranan yang penting untuk sama sama membantu mereka ke arah membentuk kehidupan yang lebih baik.


Beliau berharap dan percaya bahawa beliau dan kumpulan dapat memberikan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak jalanan yang terdedah dengan masalah sosial yang berleluasa supaya dapat mengubah kitaran hidup keluarga mereka kelak.




56 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page