• Nadi Bangi

SKMI Berjaya Mengumpul Dana Bagi Pesakit Kanser

Oleh: Vijayabalan A/L Krishnan

Penyunting: Kanessha A/P Rama Krishnan


Sumber : Instagram Kala Raattina


BANGI, 5 Jun: Sekretariat Kebudayaan Mahasiswa India (SKMI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah berjaya menganjurkan program Kala Raattina yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi menghulurkan bantuan kepada seorang pesakit kanser.


Kala Raattina merupakan sebuah program yang berjalan selama sebulan lebih dengan pelbagai aktiviti yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu pertandingan menonjol bakat dengan pertandingan Dance vs Dance, Virtual Vidvat, dan The Voice dan e-sukan yang melibatkan pertandingan Among Us, Mobile Legends dan eFootball PES untuk mengumpulkan dana bagi membantu Gawri A/P Thennarasan, seorang pesakit Kanser Ewing Sacrome with Lung Metostatis Tahap 4 yang memerlukan pertolongan kewangan untuk menjalani rawatan kemoterapi.


“Saya amat berbangga kerana dua objektif utama Kala Raattina iaitu, membantu golongan yang memerlukan dari segi kewangan dengan membantu pembiayaan perubatan mereka semampu yang boleh dan objektif membantu dan mengasah pelajar tahun 1 akan cara dan keperluan untuk menjalankan sesebuah program tahap universiti juga dapat direalisasikan walaupun jumlah wang dihulurkan yang tidak seberapa” kata Ketua Pengarah Projek Kala Raattina, Mohammad Cayrol Bin Akhubar Ali.


Beliau juga berkata bahawa program Kala Raattina mendapat sambutan yang lebih memberangsangkan daripada yang dijangka walaupun mengalami pelbagai kekangan untuk menjayakan program konsep baru ini kerana program dalam talian lebih mencabar berbanding dengan program bersemuka.


“Saya berharap Program Kala Raattina ini dapat menjadi salah satu pelantar untuk menonjolkan bakat pelajar - pelajar IPTA / IPTS di negara kita dan dapat menghulurkan bantuan kepada saudari Gawri A/P Thennarasan yang memerlukan dari segi pembiayaan perubatan serta menjadi inspirasi kepada pelajar tahun 1 untuk meluahkan kepimpinan mereka bagi mengendalikan sebuah program mega sebegini walaupun dalam talian ” kata Mohammad Cayrol Bin Akhubar Ali.


Pelaksanaan program dalam talian tidak menjadi penghalang kepada urusetia program kerana dapat menjayakan program ini dengan mengumpulkan dana sebanyak RM 3000 bagi pembiayaan perubatan saudari Gawri A/P Thennarasan untuk menampung kos rawatan kemoterapi.


Kehadiran Penasihat Sekretariat Kebudayaan Mahasiswa India, Prof. Madya Dr. Doris Padmini A/P S. Selvaratnam sebagai tetamu khas memeriahkan Kala Raatina dan beliau merasmikan penutupan program Kala Raattina dengan ucapan penutupan beliau.


“Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh AJK Kala Raattina ini kerana dapat melaksanakan program berimpak sebegini dengan perancangan yang baik bagi menghulurkan bantuan kepada saudari Gawri A/P Thennarasan untuk menjalani rawatan kemoterapi “ Kata Dr. Doris dalam ucapan penutupan majlis.


Sokongan daripada pelajar - pelajar IPTA / IPTS merupakan salah satu mercu tanda bagi kejayaan program ini untuk mencapai hasrat program ini iaitu menghulurkan bantuan kepada Gawri A/P Thennarasan.


“Saya mendapat pelbagai pengalaman dan ilmu sebagai pelajar tahun 1 bagi menjalani sebuah program sebegini dalam talian dan semua ilmu dan pengalaman ini akan membantu saya untuk meningkatkan kepimpinan terhadap pengurusan program berimpak pada masa yang akan datang” kata Vinishaa A/P Shanmugam, seorang ahli jawatankuasa Kala Raattina.


259 views0 comments

Related Posts

See All