Nadi Bangi
SneakerLah 2019 Kembali Gegar Mid Valley
Oleh : Nur ‘ Ain Syafiqah Rahim
Penyunting : Vanisri Ravi

KUALA LUMPUR , 13 Oktober - Konvensyen kasut terbesar di Malaysia, SneakerLah 2019 ditaja oleh U Mobile telah kembali untuk edisi ke-5 yang berjaya menarik ramai komuniti ‘Sneakerheads’ berhimpun di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC) pada 5 Oktober lalu.
‘Sneakerheads’ yang dimaksudkan adalah golongan yang meminati, mengumpul dan mempunyai pelbagai koleksi kasut sneakers.
Menerusi konvensyen SneakerLah ini, peminat dapat menemui, menyelongkar, membeli, menjual dan berkongsi minat yang sama mengenai kasut sneakers.
Kesanggupan para peminat sneakers beratur panjang di depan pintu masuk MVEC untuk memasuki acara tahunan ini membuktikan budaya minat terhadap kasut sneakers semakin galak berkembang di Malaysia.
Menurut Pengasas Projek SneakerLah 2019, Bryan Chin, 33, perkembangan komuniti ‘Sneakerheads’ semakin meningkat apabila rekod pengunjung yang hadir di SneakerLah sejak edisi pertama sehingga edisi terkini, dilihat semakin bertambah dan mendapat sambutan yang lebih hangat.
SneakerLah tampil dengan tarikan baharu pada tahun ini, iaitu penyertaan jenama baharu seperti Lacoste dan New Balance, pelancaran model sneakers edisi terhad, ASICS GEL Kayano 5 yang berinspirasikan Nasi Lemak, serta banyak lagi.
Haikal Azmir, Eksekutif Perhubungan Awam bagi Projek SneakerLah 2019 berkata, “Tujuan konvensyen SneakerLah ini dijalankan adalah sebagai ruang untuk komuniti peminat kasut berkumpul, berkenalan dengan kawan baru, tengok kasut edisi terhad dalam pasaran, dan memastikan pengunjung menikmati aktiviti yang diadakan,”
“SneakerLah 2019 menerima tumpuan pengunjung lebih besar berbanding tahun lepas dengan bantuan pihak media yang mempromosikan konvensyen ini tanpa berbayar sehingga berjaya mempengaruhi orang ramai,” tambah beliau lagi.
Sabrina, 24, salah seorang pengunjung SneakerLah 2019 menggelarkan dirinya seorang ‘Sneakerheads’ tegar kerana sanggup menghabiskan ribuan ringgit demi sepasang sneaker.
“Saya sanggup memandu kereta dari Johor selama 4 jam untuk datang ke SneakerLah kerana ingin ‘memburu’ model sneakers edisi terhad bagi menambah koleksi kasut saya dan pada masa yang sama memeriahkan lagi konvensyen ini,” kata Sabrina semasa ditemu ramah oleh wartawan Nadi Bangi.
Selain menyaksikan jenama-jenama kasut yang menyertai buat pertama kali di SneakerLah 2019, para peminat juga berpeluang menyaksikan persembahan hebat daripada artis-artis ternama seperti Reddi Rocket, Airliftz, Dj Biggie, dan Kidd Santhe.