Nadi Bangi
Solidariti Menjaga Kebajikan Doktor Junior Malaysia
Oleh: Anis Natasya
Penyunting: Haziq Johan

Sumber: Google
Tidak dapat dinafikan bahawa anggota barisan hadapan merupakan mereka yang dihormati masyarakat kerana berani mengharungi dugaan pandemik dan membahayakan nyawa mereka untuk melindungi negara daripada terkesan dengan berat akibat wabak Covid-19. Walau bagaimanapun, masih terdapat kisah-kisah penindasan yang melibatkan golongan pengamal perubatan. Tekanan tersebut sudah pasti terlalu membebankan, bahkan untuk golongan yang dianggap paling berani tersebut. Persoalannya, adakah pihak yang bertanggungjawab telah mengambil sebarang inisiatif untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka?
Kini, telah dilaporkan bahawa 15000 doktor kontrak telah merancang untuk menganjurkan sebuah gerakan mogok di seluruh negara pada 6 Julai untuk menunjuk tanda protes terhadap penindasan yang ditimpa oleh doktor junior daripada segi skema kontrak. Menjadi sebahagian besar tenaga kerja berkaitan Covid-19 di Malaysia, doktor-doktor tersebut merancang untuk berjalan keluar dan meninggalkan fasilitati masing-masing. Seorang anggota gerakan tersebut juga melaporkan bahawa tunjuk perasaan tersebut akan berlaku di setiap negeri di Malaysia.
Data statistik juga menunjukkan bahawa 60 hingga 70 peratus daripada 23077 pengamal perubatan kontrak menunjukkan minat dan reaksi yang positif untuk menyertai protes tersebut. Anggota-anggota gerakan tersebut menekankan bahawa mogok itu bukan bertujuan untuk memberikan impak yang negatif kepada para pesakit. Ini merupakan sebuah demonstrasi untuk menunjukkan rasa kecewa mereka terhadap kegagalan pihak berkuasa untuk menjaga kebajikan mereka.
“Kami tidak mahu melumpuhkan sektor kesihatan di dalam negara ini. Kami menyukai pekerjaan kami dan kami benar-benar mengasihi pesakit kami. Kami tidak mahu menyakiti mana-mana individu di dalam proses ini, tetapi kami mahu mereka yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan yang sepatutnya.”
Mengapakah Isu Ini Timbul?
Dengan kenaikan kes jangkitan Covid-19 secara mendadak, tidak hairanlah mengapa anggota barisan hadapan tersebut mula dibelenggu kepenatan. Pada 21 Jun, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di dalam sebuah sidang media menyatakan unit kawalan rapi (ICU) Covid-19 di Malaysia telah 92 peratus penuh, iaitu sebanyak 1096 jumlah pesakit yang mengisi 1187 katil yang disediakan di seluruh negara. Sebanyak 594 pesakit Covid-19 bergantung kepada sokongan ventilator, daripada 1291 ventilator yang telah disediakan bagi kes virus tersebut.
Schomos Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyatakan bahawa mereka tidak menggalakkan protes tersebut, namun pihak penganjur telahpun berhubung dengan mereka. Isu protes ini tidak dibangkitkan tanpa sebarang justifikasi. Anggota barisan hadapan telah terkapai-kapai dari segi progresi kerjaya mereka sejak pandemik ini bermula. Mereka meraihkan suara kebimbangan mereka melalui surat terbuka yang dihantar ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
Menurut Malaysiakini, sistem kontrak bagi doktor perubatan diperkenalkan pada bulan Disember 2016 sebagai sebuah rancangan untuk menangani masalah kekurangan graduan bidang perubatan di Malaysia. Graduan-graduan tersebut ditawarkan kontrak yang bertempoh 5 tahun. Namun begitu, mengikut data yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, sebanyak 23077 pegawai perubatan kontrak yang direkrut sejak 2016 dan hanya 789 yang telah menerima jawatan tetap. Hal ini menyebabkan golongan doktor kontrak dibelenggu pelbagai masalah seperti tiada pekerjaan tetap, hutang pembelajaran yang masih belum dilunaskan dan kekurangan pendapatan untuk menyara kehidupan.
“Kami menghormati sistem perlembagaan dan bukan niat kami untuk mengganggu keharmonian negara. Tetapi selepas tiga kali perubahan daripada segi pemerintahan dan kerajaan, masih tidak ada kemajuan yang dicapai dalam masalah ini. Kami memerlukan jawapan dan hasil yang hadir dalam bentuk fizikal,” ulas mereka di dalam surat tersebut.
Reaksi Pelbagai Pihak Terhadap Gerakan Tersebut
Walau bagaimanapun, doktor-doktor tersebut diberi amaran untuk dikenakan tindakan disiplin sekiranya mereka menyertai gerakan mogok tersebut. Isu ini tidak akan timbul sekiranya pemerintah mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah yang telah lama berlarutan tersebut. Perkara ini adalah seharusnya tidak berlaku kerana keputusan mereka untuk melakukan protes tidak akan muncul sekiranya masalah yang sudah lama berlarutan ini telah diselesaikan. Mereka mempunyai justifikasi yang kukuh di sebalik keputusan mereka.
Permintaan untuk barisan hadapan yang semakin meningkat menandakan keperluan bagi sebuah polisi pekerjaan yang strategik dan berterusan untuk graduan bidang perubatan, namun jumlah doktor di dalam jabatan rawatan kesihatan awam adalah masih tidak mencukupi. Baru-baru ini, ahli DAP iaitu Lim Guan Eng juga menyuarakan pendapat beliau tentang isu ini dan menyatakan bahawa penyerapan perlu dilakukan dengan segera tanpa mengira bangsa dan agama.
Setakat ini, MMA dan Schomos telah memuat naik sebuah kenyataan di laman media sosial Facebook untuk mengumumkan keputusan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh doktor-doktor kontrak di dalam negara ini.
Walaupun MMA dan Schomos menentang gerakan mogok tersebut, mereka telah mengorganisasikan sebuah bentuk protes mereka sendiri untuk menentang layanan yang diterima oleh doktor-doktor kontrak. Tanda pagar #CodeBlackMY digunakan bagi menggalakkan para doktor untuk memakai pakaian hitam ke tempat kerja dan memegang plakad yang menunjukkan sokongan terhadap kebajikan doktor kontrak. Gerakan tersebut bakal diadakan pada 12 Julai.
Penulis bersetuju dengan gerakan tersebut untuk menunjukkan solidariti pengamal perubatan dalam menjaga kebajikan golongan doktor junior yang ditindas. Gerakan tersebut menyimbolkan bahawa mereka mahukan inisitatif yang berkesan untuk dikuatkuasakan dengan serta merta.