top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Stigma Negatif Masyarakat Bebani Pesakit Mental

Penulis: Elida Najwa Mohd Subri

Penyunting: Shafa Alvia Rizka

Sumber: Google


Baru-baru ini akbar Indonesia ada melaporkan sebuah kejadian seorang remaja di Riau, Indonesia membunuh diri dengan cara menggantung diri di pintu biliknya. Beliau sempat merakam kejadian tersebut di telefon bimbit miliknya dan tindakan itu didakwa kerana mempunyai depresi yang berat.


Selari dengan kejadian seperti itu, stigma dan tanggapan negatif masyarakat terhadap penyakit yang melibatkan kesihatan mental saban hari telah banyak memberikan impak buruk dan membebani pesakit.


Isu kesihatan mental sering kali dijadikan sebagai bahan jenaka, sekali gus mencerminkan persepsi yang telah lama membarah. Ia termasuk hantaran-hantaran di media sosial oleh masyarakat tentang kesihatan mental juga boleh dilihat seperti tiada nilai simpati apatah lagi empati kepada pesakit yang mengalami masalah dengan keadaan mental yang tidak baik.


Pernah juga suatu ketika dahulu sebuah wacana maya menjadi tular apabila moderatornya menjadikan isu depresi sebagai gurauan.


Dunia pada masa kini berdepan dengan ancaman hebat akibat krisis global dan pandemik COVID-19 yang mempengaruhi serta menjejaskan pelbagai aspek terutamanya dalam aspek kesihatan mental individu. Namun begitu stigma masyarakat terhadap isu ini masih lagi di tahap yang sama dan tidak berubah walau tahun berlalu.


Masalah berkaitan kesihatan mental masih lagi tidak menjadi tumpuan utama masyarakat dan agenda utama pihak kerajaan. Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan kes bunuh diri merekodkan 631 kes sepanjang tahun 2020 dan 468 kes dalam tempoh Januari hingga Mei 2021. Peningkatan mendadak jumlah kes kesihatan mental dalam suasana keresahan pandemik COVID-19 bertambah parah dengan stigma negatif yang semakin kritikal dalam masyarakat.


Keadaan mental individu pada masa kini lebih tercabar dan segala tekanan perasaan, kebimbangan atau ketakutan berlebihan jika tidak dapat dikawal pada peringkat awal boleh membawa kepada masalah kesihatan mental yang teruk.


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa separuh daripada hampir semua jenis penyakit mental bermula pada usia seawal 14 tahun kerana kebanyakannya tidak dapat dikesan dan mendapat rawatan pada peringkat awal.


Dalam arus kehidupan yang semakin membangun dari pelbagai aspek kehidupan, individu semakin mengalami kesukaran untuk membentuk kehidupan yang baik. Kesihatan mental yang baik merupakan tunjang utama untuk meneruskan kehidupan sosial bermasyarakat pada masa kini.


“Kesihatan mental tidak boleh diperjuangkan sendirian, ia memerlukan segala input” jelas Tengku Puteri Iman Afzan pada pertemuannya bersama Bernama setelah dilantik sebagai Perwakilan Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia (WFMH) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Stigma masyarakat tentang isu kesihatan mental ini juga harus diperangi bersama oleh semua individu untuk memberikan kesedaran kepada umum tentang pentingnya pengetahuan tentang kesihatan mental. Kajian Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (National Council of Social Service) pada tahun 2017 mendapati tujuh daripada 10 responden percaya bahawa individu yang mempunyai keadaan kesihatan mental mengalami stigma dan diskriminasi dalam kehidupan harian mereka.


Dasar Kesihatan Mental Negara

Persoalannya, bagaimanakah stigma masyarakat mengenai kesihatan mental ini boleh dikurangkan mahupun dihentikan?


Pada pendapat penulis, tindakan mahupun usaha untuk mengurangkan dan menghentikan stigma tentang kesihatan mental ini bermula dengan dasar kerajaan. Kerajaan antara salah satu pihak yang berperanan besar untuk membuat suatu dasar agar dapat menyebarkan kesedaran tentang kesihatan mental.


Turut diambil kira, masyarakat di Malaysia masih belum cakna tentang isu ini. Hal ini telah menyebabkan stigma tentang masalah ini semakin tidak dapat dibendung pada masa kini.

Oleh hal yang demikian, penulis merasakan antara tunjang utama untuk menghapuskan stigma ini adalah dengan cara pembuatan dasar yang baik dan memberikan fokus sepenuhnya kepada dasar tersebut untuk dilaksanakan.


Malaysia mempunyai Dasar Kesihatan Mental Negara. Namun begitu, sejauh manakah ia berkesan terhadap isu ini?


Dasar Kesihatan Mental Negara dibentuk bertujuan untuk menyediakan suatu asas dalam merangka strategi terbaik untuk menjadi halatuju dalam pelaksanaan program kesihatan khususnya kesihatan mental dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.


Namun begitu, pada pendapat penulis dasar yang sedia ada tidak dilaksanakan dengan baik dan hal ini telah memberi impak dalam semua aspek termasuk kepada individu yang mengalami masalah mental.


Penulis menyarankan pihak kerajaan untuk menambahkan lagi peruntukkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani masalah dan isu ini. Hal ini mungkin boleh membantu negara dengan lebih banyak untuk mewujudkan banyak alternatif lain dalam usaha kerajaan untuk memerangi masalah ini terutama sekali untuk menghapuskan stigma.


Tingkat Literasi Kesihatan Mental

Stigma dan diskriminasi sosial terhadap kesihatan mental telah membawa kepada banyak kesan kepada individu yang mengalaminya.


Masyarakat hanya menyedari yang mana stigma adalah masalah besar di dalam isu ini. Namun begitu, menyedari sahaja tidak cukup. Perubahan hanya berlaku dengan adanya tindakan. Selain daripada pihak berwajib dan kerajaan, masyarakat, kumpulan sosial dan juga komuniti juga perlu bersatu dan ambil tahu tentang kesihatan mental agar stigma dapat dihapuskan.


Kesejahteraan mental individu kerap kali tercalar dek kerana stigma yang diterima. Oleh itu, sebagai contoh sambutan Hari Kesihatan Mental bukan sekadar satu bentuk sambutan yang dipenuhi dengan program tetapi tujuannya perlu lebih holistik dan dekat di jiwa rakyat.


Manfaat yang diperoleh bukan hanya tertakluk pada hari yang diraikan tetapi hendaklah berterusan diingati dan dibentuk kefahaman semua golongan masyarakat supaya dapat membudayakan gaya hidup sihat mental serta peka terhadap gangguan kesihatan mental yang berlaku khususnya kepada individu yang berada dalam kitaran hidup seharian kita. Masyarakat perlu ditingkatkan literasi kesihatan mental dan diberi kesedaran tentang keparahan masalah ini.


Literasi kesihatan mental merupakan pengetahuan dan kepercayaan tentang gangguan atau penyakit mental yang akan membantu seseorang untuk mengenal pasti, mengurus dan mencegah sekiranya berlaku gangguan penyakit mental. Keupayaan pengurusan ini mampu mengawal kesan gangguan mental yang lebih serius dan dapat membantu pesakit yang mempunya masalah dengan keadaan kesihatan mental yang kurang baik untuk meneruskan kehidupan tanpa stigma masyarakat sekeliling.

160 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page