Nadi Bangi
Suami Isteri Tidur Di Tepi Jalan Bersama Kucing Peliharaan
Oleh: Anis Natasya
Penyunting: Haziq Johan

BUKIT MERTAJAM, 29 Mei - Sepasang suami isteri yang tidak mempunyai rumah terpaksa tidur di jalanan bersama kucing peliharaan mereka di Taman Bidara, Bukit Mertajam.
Menurut penduduk setempat di kawasan tersebut, Shah dan Siti telah tiga hari tinggal dalam keadaan sebegitu. Oleh kerana tiada peluang pekerjaan di kampung, mereka telah berhijrah dari Kelantan ke Pulau Pinang pada minggu lalu untuk mencari kerja, namun tidak berjaya kerana pelaksanaan PKP.
Situasi pasangan suami isteri tersebut telah mendapat perhatian Steven Sim, iaitu anggota Parlimen Malaysia bagi Bukit Mertajam. Beliau telah membuat perkongsian di laman media sosial miliknya tentang dugaan yang ditimpa oleh pasangan suami isteri tersebut.
“Oleh sebab tak dapat cari kerja di Kelantan, Shah dan Siti terpaksa meninggalkan kampung, datang ke Penang untuk mencari peluang pekerjaan. Tapi kerana PKP, mereka terpaksa hidup begini. Siang hari mencari barang-barang di tempat pembuangan sampah untuk dijual, malam pula terpaksa tidur di atas jalan,” katanya di dalam perkongsian di Facebook dan Twitter.
Perkongsian beliau telah meraih simpati daripada golongan netizen. Mereka menyatakan kesedihan mereka apabila melihat gambar keadaan suami isteri tidur di tepi jalan sambil memeluk kucing peliharaan mereka. Namun ada juga yang memberikan komen-komen negatif terhadap situasi tersebut.
Pada hari yang sama juga, Steven Sim membuat perkongsian bahawa beliau telah membawa pasangan suami isteri tersebut membeli pakaian baru dan barang-barang keperluan harian secukupnya bagi mengharungi lockdown selama dua minggu. Selepas membeli-belah, beliau membawa pasangan tersebut ke rumah baharu mereka. Kos penyewaan rumah tersebut akan ditanggung oleh beliau sehingga Shah mampu menanggung kos itu sendiri.
Selain daripada bantuan daripada segi keperluan asas, Steven Sim juga telah mendapatkan beberapa tawaran pekerjaan bagi Shah. Namun, Shah dan Siti diminta untuk berehat dulu sepanjang lockdown berlangsung untuk mengatur masa depan mereka. Ahli MAINPP turut datang menziarahi pasangan tersebut untuk menghulurkan bantuan dan kaunseling agama.
“Kadangkala sedih tengok komen orang-orang. Shah dan Siti bukan malas. Tiap hari, mereka keluar awal pagi hingga lewat malam cari kotak-kotak kadbod untuk dijual. Adakala dapatlah RM10 hingga RM20 sehari. Siti pula ada sebuah tabung simpan duit untuk rumah sewa kelak.”
Steven Sim juga membuat penambahan bagi warga netizen yang risau bahawa kucing peliharaan mereka yang dikenali sebagai Tam sihat dan selamat di rumah baharu. Makanan kucing yang secukupnya juga telah dibeli.