top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Suami Pembakar Semangat Dhabitah Untuk Terus Meraih Pingat

Updated: May 6, 2023

Penulis: Fazrinah Sadiq

Penyunting: Preti Kaur Gill


Sumber foto: Nur Dhabitah Sabri


BANGI, 1 Mei – Umum sudah mengetahui atlet penerjun negara Nur Dhabitah Sabri, 24, telah selamat diijabkabulkan dengan pelawak dan pelakon, Jiggy Masin, 34, dalam sebuah majlis tertutup di kediaman Dhabitah pada jumaat lalu.


Dhabitah yang juga merupakan pelajar separuh masa Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Komunikasi Media) di Universiti Kebangsaan Malaysia, menyifatkan suaminya itu seorang yang menunjukkan sokongan serta merupakan pembakar semangat untuk beliau terus menyinar dan lakukan yang terbaik dalam sukan terjun.


Bertanya soal keizinan suami sama ada mengizinkan untuk terus mengecapi puncak kejayaannya dalam sukan terjun, beliau berkata “Alhamdulillah suami masih mengizinkan saya memandangkan ini kerja saya, dia juga mengenali saya sebagai seorang atlet jadi tiada sebab untuk dia halang malah dia yang mahukan saya untuk bertanding dan bekerja keras meraih pingat serta menyokong saya sepanjang perlajanan ini.


“Selepas bergelar isteri pembahagian masa sangat penting kerana perlu memberi tumpuan kepada latihan, pelajaran dan dalam masa yang sama menguruskan rumah tangga, syukur saya dikurniakan suami yang sangat memahami saya kerana kami sudah pun berbincang dan suami juga tahu betapa padatnya jadual saya, jadi beliau akan terus berada di sisi dan memberikan saya sokongan moral serta membantu apa yang patut.


"Pasangan adalah cerminan kita jadi setiap bait kata suami yang penting saya akan guna sebagai nasihat untuk perbaiki kekurangan yang ada. Sebenarnya, kalau ikutkan banyak perkara yang saya masih belajar tetapi atas tunjuk ajar suami dan beliau sering memberi nasihat dengan penuh kesabaran kerana dia faham saya masih muda, jadi saya yakin akan menyesuaikan diri dan menjadi isteri yang baik.


Katanya lagi, sebuah perhubungan rumahtangga itu perlu memahami satu sama lain dan bidang masing-masing. Oleh itu komunikasi, kepercayaan dan kefahaman sangat penting katanya kepada Nadi Bangi.


Dalam pada itu, bercakap mengenai zuriat dia dan suami ada perancangan tetapi bukan dalam masa terdekat ini kerana Dhabitah mahu memberikan tumpuan menjelang persiapannya ke Olimpik Paris 2024 di Kejohanan Dunia Akuatik di Fukuoka Jepun.


Terdahulu mereka menyegerakan perkahwinan berikutan Dhabitah akan berangkat ke China untuk menjalani sesi latihan sukan selama sebulan di sana serta akan bertanding dua pertandingan besar pada tahun ini iaitu World Championship dan Asean Games.


Perkenalan singkat mereka bermula daripada sesi fotografi akhirnya berjaya naik ke jinjang pelamin apabila Dhabitah jatuh hati dengan watak kelakar yang ada pada Jiggy.

126 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page