Nadi Bangi
Sukan Antara Fakulti Ditangguhkan Kerana COVID-19
Oleh: Fitri Azman
Penyunting : Hasina Aziz

Sumber: Najmi Amri
BANGI, 20 Mac – Berikutan dengan peningkatan kes penularan wabak Novel Koronavirus atau COVID-19, Sukan Antara Fakulti (SAF) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang sepatutnya berlansung pada 7 Mac 2020 sehingga 25 Mac 2020, terpaksa ditangguhkan bagi mengelakkan para pelajar berkumpul dalam bilangan yang ramai.
SAF merupakan acara tahunan bagi UKM pada semester kedua setiap tahun yang melibatkan sebilangan besar pelajar yang menyertai pelbagai sukan seperti bola sepak, bola baling, bola tampar dan sebagainya. Tempoh masa SAF ini mengambil masa lebih kurang dua hingga ke tiga minggu.
Menurut Majlis Perwakilan Pelajar , Najmi Amri yang juga memegang jawatan sebagai exco sukan berkata, “berkenaan dengan pengangguhan sukan antara fakulti adalah disebabkan wabak COVID-19 yang semakin menular pada masa kini dan perkara ini juga disebabkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sendiri menyatakan bahawa tiada ‘mass gathering’.
“Sebenarnya kami agak berat untuk membuat keputusan bagi penangguhan ini tetapi perkara ini begitu serius dan tidak boleh dipandang enteng . Hal ini melibatkan kesihatan dan nyawa seseorang”
Syabil Yusop (Sarjanamuda Pengajian Bahasa dan Linguistik tahun 2) berkata “ pada mulanya saya berasa amat kecewa kerana kami sudah sampai ke peringkat separuh akhir dalam bola sepak. Ia tidak boleh diterima oleh semua ahli pasukan. Tetapi jika difikirkan semula bahayanya COVID-19 ini, kami rela demi menjaga kesihatan dan nyawa setiap orang”.
“ Saya amat kecewa dan marah kerana SAF tidak dapat diteruskan kerana kami telah banyak menghabiskan masa untuk berlatih bagi menghadapi perlawanan yang bakal tiba. Kami sudah bertungkus lumus menghabiskan masa untuk bertanding namun jika dibandingkan dengan kesihatan dan nyawa, sudah pasti kami menyokong SAF ditangguhkan” kata Aidid Farhan (Sarjamuda Syariah tahun 2)
Menurut Syahila Adila (Sarjanamuda Psikologi tahun 1) “saya tidak berasa terlalu kecewa kerana sukan yang saya bakal sertai belum lagi bermula atau berlangsung. Hal ini juga saya amat menyokong dengan tindakan untuk menangguhkan SAF demi kepentingan para pelajar dan juga staf UKM”.
Hal ini menunjukkan pihak bertanggungjawab telah menjalankan tugas dengan baik bagi mengatasi masalah penyebaran wabak COVID-19.