top of page
  • Writer's pictureFarena Hani

Sukan memanah bukan untuk Olimpik sahaja!

Penulis: Farena Hani

Penyunting: Haisya Hurairi



Sukan memanah ini kelihatan amat menarik dan sering dijadikan aktiviti kokurikulum bagi pelajar sekolah rendah dan menengah. Namun, kebiasaannya, apabila anda tidak lagi di bangku sekolah, peluang anda untuk menyertai kelab memanah akan hilang dan hanya mereka yang merupakan atlet sekolah akan meneruskan perjalanan mereka menuju ke perlawanan yang lebih berprestij seperti Sukan Olimpik.


Menurut Statistik Badan Sukan Mengikut Jenis Sukan di Malaysia bagi tahun 2016 dan 2017 yang dikaji oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), terdapat 98 badan sukan memanah pada 2016 dan kenaikan kepada 121 pada tahun 2017 yang menunjukkan bahawa sukan memanah masih lagi berkembang dalam kalangan penduduk Malaysia.


Jika dilihat dari segi sejarah, aktiviti memanah merupakan satu aktiviti yang masih dipraktikkan sejak zaman dahulu lagi. Para pejuang Het dan Assyria telah menggunakan busur yang dicipta daripada tendon, tanduk dan kayu semasa pertempuran daripada kereta kuda mereka pada tahun 1200 Sebelum Masihi (S.M.) Memanah juga merupakan salah satu cara untuk memburu dan berperang bagi masyarakat Mesir dan Nubia pada tahun 10,000 S.M.


Menurut pandangan Islam sendiri, Nabi Muhammad juga menggalakkan para sahabat untuk mengamalkan sukan berkuda dan memanah untuk memastikan fizikal dan stamina mereka sentiasa tinggi bagi persiapan menghadapi perang.


Sukan Olimpik Athens yang diadakan pada tahun 1896 adalah permulaan bagi acara ini. Ianya telah menarik lebih daripada 14 negara dan 241 atlet dan menampilkan 43 jenis sukan yang dipertandingkan. Namun, sukan memanah tidak diadakan pada tahun pertama tersebut.


Sebaliknya, ia didaftarkan pada tahun 1900 di Olimpik Paris di mana wanita juga dibenarkan untuk turut serta dalam Sukan Olimpik tersebut dan ini berterusan sehingga tahun 1904, 1908, dan 1920. Namun pada Olimpik yang seterusnya, sukan ini tidak lagi dibenarkan pendaftarannya kerana perbezaan dari segi peraturan dan memihak kepada tuan rumah.


Pada tahun 1931, Persekutuan Memanah Dunia telah dibentuk dan ini memberi peluang kepada sukan memanah untuk kembali ke dunia Sukan Olimpik 1972 di Munich setelah peraturan bagi sukan ini diselaraskan bagi seluruh dunia sehinggalah ke hari ini.


Jurulatih Ahmad Joehary


Jangan bersedih! Kini, anda juga boleh mempelajari sukan ini sebagai hobi dengan panduan yang diberikan oleh jurulatih Ahmad Joehary, 46, yang merupakan pengasa kepada FUYO Archery, seorang bekas pemanah negara dan hakim memanah kebangsaan.



Jenis Busur


Siapa sahaja yang tidak pernah berangan untuk menjadi seorang pemanah yang hebat seperti pelakon Hawkeye dalam francais Marvelkan? Dengan busur yang kilat menawan sambil menembak pihak lawan, anda akan rasa seperti sedang berlakon dalam filem aksi. Namun, ada banyak faktor lain yang diambil kira sebelum memilih busur yang sesuai untuk anda selain daripada faktor estetiknya.


Antaranya adalah faktor umur. Bukanlah ingin sentiasa mengingatkan anda bahawa kita semakin hari, semakin tua. Namun, umur merupakan antara faktor utama dalam memilih busur yang tepat untuk anda kerana setiap jenis busur mempunyai berat (poundage) yang berbeza. Individu yang berumur 12 tahun ke bawah tidak akan dijangka untuk mengangkat busur seperti busur panjang yang mempunyai berat yang tinggi.


Bagi mereka yang baru saja ingin berjinak-jinak dalam bidang sukan ini, jenis busur yang sesuai menurut jurulatih Joehary adalah busur recurve, busur tradisional dan busur kompaun. Ketiga-tiga jenis busur ini mempunyai berat (poundage) yang rendah jadi ianya lebih mudah untuk digenggam.


Busur recurve


Busur recurve biasanya digunakan sebagai busur untuk mereka yang baru ingin belajar memanah dan ianya dikira sebagai busur standard dan digunakan juga dalam Sukan Olimpik.


Busur tradisional


Busur tradisional ini mempunyai reka bentuk yang lebih ringkas dan biasanya akan diperbuat daripada kayu. Busur inilah yang biasanya akan lebih banyak digunakan dalam cerita-cerita xianxia atau cerita cina yang berkonsepkan dunia pugililstik.


Busur kompoun (compound)


Busur kompoun dicipta dengan reka bentuk yang lebih rumit namun berat (poundage) bagi busur ini adalah rendah. Jadi, sekiranya individu yang baru mula belajar ingin kelihatan seperti seorang pakar, busur ini adalah pilihan yang tepat selain daripada ianya mudah untuk digunakan.


Busur silang (crossbow)


Terdapat satu lagi jenis busur yang boleh dipelajari iaitu busur silang (crossbow). Busur ini biasanya akan digunakan untuk memburu. Oleh itu, bagi individu yang berminat untuk menceburi bidang memburu, mereka boleh mendapatkan lesen bagi memiliki busur ini. Jurulatiah Joehary menegaskan bahawa crossbow hanya boleh dimiliki oleh individu yang mempunyai permit dan lesen sahaja kerana ianya dianggap sebagai senjata.



Jenis Anak Panah


Jenis anak panah juga memainkan peranan dalam membantu anda mengawal jarak penembakan anak panah tersebut. Terdapat 4 jenis anak panah iaitu anak panah yang diperbuat daripada kayu, aluminium, karbon dan karbon aluminium. Teknologi baru telah menyebabkan anak panah jenis gentian kaca (fibreglass) dicipta dan ianya sering menjadi pilihan beginners kerana ianya ringan. Namun begitu, ketahannya dikatakan tidak tinggi dan tidak konsisten oleh jurulatih Joehary.


Busur gentian kaca (fibreglass)


Kebiasaannya, anak panah yang digunakan akan disertakan sekali dengan busur yang telah dipilih. Contohnya, anak panah kayu akan disertakan dengan busur tradisional dan busur panjang.


Anak panah aluminium


Jurulatih Joehary mengingatkan bahawa anak panah yang digalakkan untuk individu yang baru sahaja belajar memanah adalah anak panah karbon atau aluminium kerana harganya yang murah dan ketahanannya yang tinggi.


Diingatkan, anak panah kayu, karbon-aluminium dan gentian kaca (fibreglass) boleh digunakan namun beginners boleh fokus kepada anak panah yang mempunyai low poundage.



Jenis Posisi


Posisi yang dikenakan semasa anda memanah juga penting. Sekiranya tali busur ditarik dengan terlalu cepat, momentum yang diperlukan untuk menolak anak panah supaya pergi lebih jauh tidak akan dapat dicapai.



Posisi yang perlu diikuti adalah posisi berdiri dengan tegak. Posisi lain seperti melutut dan gaya bebas boleh dipelajari setelah pemanah memahirkan diri mereka dengan posisi ini.



Aksesori Tambahan


Banyak kemalangan boleh terjadi kepada pemanah sekiranya sebarang kesalahan dilakukan ketika berlatih. Kecederaan yang muncul akibat kemalangan yang tidak diingini seperti kulit tangan dicarik oleh tali busur dan sakit jari apabila menarik tali busur boleh dielakkan jika anda melabur sedikit wang untuk membeli aksesori tambahan dan melengkapi set memanah anda.

Sarung tangan jari (finger glove/tap)


Aksesori pertama yang disyorkan oleh jurulatih Joehary adalah sarung tangan jari atau finger tap. Fungsinya adalah untuk melindungi jari anda semasa sedang menarik tali busur. Harganya yang murah tidak akan membuatkan poket anda sengsara.


Pelindung dada (chest guard)


Kedua, pelindung dada atau chest guard. Fungsinya adalah untuk memastikan dada anda tidak diragut oleh tali busur manakala bagi wanita, ianya berfungsi dengan memastikan tudung anda tidak berada dalam laluan tali busur semasa anda sedang berlatih. Harga di pasaran adalah dalam lingkungan RM30 hingga RM150 dan boleh didapati di mana-mana kedai yang menjual peralatan sukan.


Pelindung tangan (arm guard)


Akhir sekali, pelindung tangan atau arm guard. Fungsinya adalah untuk memastikan tangan anda tidak dilibas oleh tali busur dan mengelakkan lebam dan luka. Walaupun pemanah tersebut adalah seorang veteran, mereka juga akan memakai arm guard kerana malang tidak berbau. Sebelum tangan anda luka, lebih baik untuk berjaga-jaga. Mengikut jenama yang berbeza, harga boleh mencapai hingga ratusan ringgit. Namun, anda tidak perlu risau, harga dalam lingkungan RM50 juga ada di pasaran.


Semoga ilmu yang dikongsikan tentang sukan memanah ini dapat memberi manfaat kepada pembaca.



315 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page