Nadi Bangi
‘SUKAN UNTUK ALAM SEKITAR' PENYERI SAF 2020
Oleh : Nurul Ain Samad
Penyunting : Syakila Hidayu Suhaimi

Sumber : Muhammad Najmi Amri Bin Abdul Aziz
BANGI, 10 Mac – Kelainan serta keistimewaan yang dibawa oleh Sukan Antara Fakulti (SAF) 2020, anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (MPPUKM) berkemampuan untuk memupuk serta menerapkan sifat dan nilai-nilai murni dalam kalangan atlet serta mahasiswa selari dengan temanya pada tahun ini iaitu 'Sukan Untuk Alam Sekitar'.
Merupakan salah satu sukan utama universiti, SAF yang dianjurkan buat kali ketiga ini menyaksikan sebanyak 13 kategori sukan dipertandingkan antaranya bola sepak, catur, frisbee, bola baling, futsal, bola jaring dan banyak lagi.
Menurut Ketua Pengarah SAF, Muhammad Najmi Amri bin Abdul Aziz (Sarjana Muda Perakaunan, 3), kelainan SAF kali ini terletak pada temanya iaitu 'Sukan untuk Alam Sekitar' di mana setiap atlet yang bertanding bagi setiap permainan akan bekerjasama untuk membersihkan sendiri kawasan pertandingan mereka selepas setiap perlawanan.
“Tema yang telah ditetapkan ini mampu untuk menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri setiap atlet. Bukan itu sahaja, setiap barangan yang dikumpul seperti botol-botol kosong dan sebagainya akan digunakan semula sewaktu perbarisan SAF”, katanya.
Majlis penutup SAF yang dijangka berlangsung di Pusat Sukan UKM pada 25 Mac ini bakal diakhiri dengan acara perbarisan oleh para atlet serta pertandingan akhir perlawanan bola sepak antara pasukan yang telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir. Justeru, seluruh warga UKM boleh mengikuti laman instagram rasmi SAF, @SAFUKMofficial untuk mengetahui perkembangan terkini serta hadir ke Pusat Sukan UKM bagi memeriahkan lagi majlis penutup SAF 2020.