Nadi Bangi
Summer Sport Dibuka Semula
Oleh : Liu Jiun Er
Penyunting : Amira Zulaikha binti Saidon

Sumber : Liu Jiun Er
KEMAMAN, 4 Julai – Gelanggang Badminton iaitu “Summer Sport” di Kemaman telah dibuka semula pada 20 Jun setelah kerajaan bersetuju untuk membenarkan pembukaan semula sektor sukan termasuk gimnasium, dewan badminton, pusat snuker dan sebagainya pada 15 Jun 2020.
Penduduk di Kemaman boleh bermain badminton di Summer Sport yang terletak di Jalan Kubang Kurus dengan syarat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan membuat tempahan dengan pemilik Summer Sport sehari sebelum bermain di sana.
Menurut Phua Ke Yi, pemilik Summer Sport, pelanggan mengikuti SOP yang ditetapkan dan pihak mereka sendiri telah membuat tanda di setiap kerusi supaya orang ramai boleh menjaga jarak 1 meter antara satu sama lain.
“Walaupun pusat sukan dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa, orang yang datang tidak ramai seperti dahulu. Malah, ada hari yang kami langsung tidak menerima tempahan.”
Beliau juga memberitahu bahawa majoriti pelanggan terdiri daripada bangsa Melayu. Mereka kurang mendapat sambutan daripada kaum lain.
“Mungkin mereka masih risau dan bimbang dengan risiko jangkitan kerana gelanggang badminton merupakan tempat yang tertutup dan tiada aliran udara.”
Selain itu, Encik Phua juga memberitahu bahawa perlaksanaan PKP telah memberikan impak yang besar kepada beliau kerana telah kehilangan sumber pendapatan apabila pusat sukan terpaksa berhenti beroperasi selama 3 minggu untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
“Saya kehilangan sumber pendapatan apabila tiada orang datang untuk bermain badminton. Bukan itu sahaja, kedai saya yang menjual raket badminton dan baju-baju sukan juga tidak mendapat keuntungan sepanjang PKP ini.”
Beliau berharap agar wabak Covid-19 ini boleh diselesaikan dengan cepat dan kedai-kedai di Kemaman boleh beroperasi seperti biasa.