Penulis : Muhammad Fareez Budiman Naim
Penyunting: Nur Syuhada Abdul Jalil
Foto : Muhammad Fareez Budiman Naim
BANGI, 5 Nov - Isu Integriti sememangnya salah satu isu yang hangat diperkatakan terutamanya dalam kalangan penjawat awam. Walau bagaimanapun, usaha-usaha pemantapan integriti dalam kalangan penjawat awam kerap dilaksanakan dan warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga tidak terlepas daripada menganjurkan program-program yang dapat meningkatkan dan menyedarkan kepentingan integriti dalam kehidupan harian.
Menurut Mantan Ketua Polis Negara (KPN) ke-12, Tan Sri Abdul Hamid Bador di dalam ucapannya telah menyatakan bahawa sejak kecil lagi ibu beliau sudah memesan supaya tidak mencuri walaupun menghadapi kesusahan.
“Susah-susah pun jangan mencuri, susah-susah pun jangan ambik hak orang” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri webinar yang bertajuk ‘Pembudayaan Integriti Tingkat Reputasi’ sempena sambutan Bulan Integriti 2021 anjuran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dalam webinar tersebut, Tan Sri Abdul Hamid Bador juga turut menyatakan bahawa integriti merupakan sesuatu perkara yang tertanam dalam diri dari kecil dimana ia dididik dari kecil melalui pengaruh ibu bapa.
“Integriti merupakan satu proses yang dilatih secara berterusan. Dirumah ibu bapa yang mendidik, di sekolah pula, guru-guru” katanya di dalam webinar tersebut.
Beliau juga turut menyatakan bahawa semasa zaman beliau belajar di Universiti, beliau akan menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah dengan sehabis baik dan tidak copy paste kerana tindakan tersebut dikira sebagai tindakan yang tidak berintegriti.
“Saya menyiapkan kerja dengan sehabis baik, tak copy paste. Sebab itu dikira mencuri dan tidak jujur. Hanya menjadi graduan dengan kertas first class tetapi jiwa kosong. Masuk dalam alam pekerjaan, tiada pertahanan dlm diri kerana menyeleweng” katanya.
Tidak menyimpang dari skop perbincangan “alam universiti”, beliau turut menyatakan bahawa pensyarah perlu memberikan pendidikan yang menyeluruh manakala pelajar tidak perlu membuang masa atau berfoya-foya.
“Umur ini yang menentukan kita menjadi baik, mental kita nak jadi yang terbaik. Yang membezakan kita adalah asuhan daripada kecil. Sebab kita dah tau mana baik, mana yang buruk” katanya lagi.
Mengulas soalan yang telah diajukan berkenaan integriti anggota polis yang dipertikaikan seperti kecaman oleh netizen di platform media sosial, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata sekarang merupakan sebuah era yang susah untuk menyorok.
Jadi apabila berlaku sahaja kes salah laku anggota PDRM, serta merta jabatan integriti daerah, negeri, ataupun bukit aman akan membuka siasatan dan mengenakan tindakan sekiranya betul adanya salah laku.
“Sekiranya betul, tindakan akan diambil ke atasnya sama ada dibawah discipline board atau diambil tindakan yang lebih serius daripada itu. Kalau melanggar undang-undang, definitely tidak ada perlindungan” katanya.
“Jangan kita kesian, cukuplah. Nasihat dah cukup diberikan. Bentuk kawalan dalam hitam putih pun banyak diberikan. Mereka faham, dia bukan budak-budak pun” tambahnya lagi.
Comentários