top of page
  • Writer's pictureAinul Salsabila

“Tak Berkat Ilmu..” Ain Husniza Buktikan Cemerlang SPM 2021

Updated: Jun 19, 2022

Penulis: Ainul Salsabila Aidi

Penyunting: Nur Izzah ‘Atirah Abd Rahim


Sumber: Twitter


KUALA LUMPUR, 17 Jun: Ain Husniza, 18, yang memulakan trend tanda pagar #MakeSchoolASaferPlace di platform Twitter berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang baru sahaja diumumkan, meskipun pelbagai tomahan terpaksa dihadapi.


Beliau sebelum ini memulakan trend tersebut setelah mendedahkan tentang seorang guru yang menjadikan rogol sebagai bahan jenaka sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran (PdPR) di dalam kelas sedang berlangsung, menerusi laman TikTok beliau.


Menurutnya, perkara ini memberi tekanan yang besar buatnya kerana ramai dari kalangan rakyat Malaysia mengecam beliau. Mereka menganggap perkara yang diceritakan olehnya adalah remeh dan tidak perlu diperbesarkan.


Ain cekal menghadapi segala kecaman yang dilontarkan dan kekal fokus dalam pelajaran walaupun pernah diberitahu ilmu yang dipelajari tidak berkat.


“Ramai yang memberitahu saya ilmu yang saya pelajari tidak berkat dan ada dari kalangan mereka yang mahu melihat saya gagal,” luahnya.


Menerusi temu bual bersama Ain, beliau berkongsi tentang pengalamannya belajar sewaktu ingin menduduki SPM. Ain tidak meletakkan harapan tinggi untuk memperoleh keputusan cemerlang kerana belum pernah memperoleh keputusan sebagus ini.


Ain menerapkan beberapa cara dan rutin harian untuk subjek-subjek tertentu yang diutamakan oleh beliau.


“Saya akan menyusun subjek yang kurang saya kuasai untuk memberi lebih tumpuan terhadapnya, contohnya seperti Sejarah dan Matematik. Saya akan merujuk video di Youtube untuk menghabiskan semua silibus tingkatan 4 dan 5. Ia menjadi rutin yang saya lakukan tiga bulan sebelum SPM,” maklumnya.


“Sehari sebelum SPM bermula, saya akan mengulang pembelajaran saya bagi memastikan setiap silibus benar-benar dihabiskan.”


Setiap kali sebelum mula peperiksaan, beliau turut meletakkan niat untuk melakukan yang terbaik untuk subjek tersebut.


Oleh kerana beliau terpaksa berpindah sekolah susulan isu yang berlaku di sekolah lamanya, beliau juga perlu menyesuaikan diri dengan suasana baharu.


“Guru-guru di sekolah baharu saya amat menyokong saya serta apa yang saya perjuangkan. Saya amat bersyukur kerana mereka juga rapat dengan saya dan mengajar saya banyak perkara.”


Dalam pada itu, netizen turut menjadikan Ain sebagai sumber inspirasi kerana berjaya mengimbangkan pelajaran serta isu yang dihadapinya.


Menurut Ain, beliau ingin menyambung pelajarannya dalam jurusan undang-undang kerana beliau berminat dalam bidang peguambela. Beliau masih menunggu peluang melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.


Kecemerlangan keputusan SPM Ain turut meraih banyak pujian daripada netizen yang mengucapkan tahniah, sehingga kata-kata ‘Congrats Ain’ menjadi salah satu trend terkini di Twitter.


Ain yang turut aktif memperjuangkan #MakeSchoolASaferPlace pernah diberitahu untuk berhenti melakukannya dan menumpukan kepada pelajaran. Justeru, keputusan peperiksaan beliau membuktikan bahawa perjuangannya sambil menghadapi tahun peperiksaan yang penting adalah tidak sia-sia.








38 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page