Nadi Bangi
Takut Ketinggalan Punca Sindrom FOMO
Oleh: Haziq Johan
Penyunting: Anis Natasya

Sumber: Google
Kemajuan teknologi kini dilihat semakin berkembang pesat di seluruh dunia tidak kira di Malaysia mahupun luar negara. Kewujudan teknologi ini dihasilkan bagi memudahkan, mempercepatkan dan mengurangkan penggunaan tenaga manusia. Seperti yang diketahui umum, teknologi telah banyak membantu manusia untuk berkomunikasi atau berinteraksi antara satu sama lain tanpa mengira had jarak dan masa. Kewujudan peranti seperti telefon pintar terutamanya sudah menjadi peralatan kewajiban bagi setiap individu untuk dibawa kemana sahaja bagi mengakses kepada aplikasi-aplikasi media sosial yang kian hari semakin canggih.
Bagaimanapun, kebergantungan yang tidak dikawal terhadap teknologi ini boleh memberi kesan negatif termasuk kepada kesihatan mental seperti sindrom FOMO. FOMO merupakan akronim bagi “Fear of Missing Out” yang didefinisikan oleh pakar akademik di dalam jurnal saintifik, Computers in Human Behavior sebagai perasaan takut apabila ketinggalan daripada perkembangan semasa. Perasaan kurang senang atau kebimbangan ini datang apabila seseorang individu melihat kehidupan orang lain yang lebih meriah dan seronok di media sosial namun tidak sama seperti apa yang dilalui olehnya.
Menurut Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Amer Nordin dalam sesi wawancara dalam rancangan Wanita Hari Ini menyebut bahawa FOMO merupakan salah satu isu daripada segi psikologi di mana manusia cuba memahami tingkah laku perihal individu yang mungkin boleh menyebabkan berlakunya pelbagai masalah berkaitan kesihatan mental. Secara ringkas, situasi FOMO ini menyebabkan seseorang itu akan sentiasa cuba untuk mengikuti trend semasa yang kadangkala bukan kebiasaan yang mereka lakukan. Akibat daripada perasaan resah, gelisah dan rasa ketinggalan, maka terjadinya kesan sampingan yang lain yang akan memudaratkan kehidupan mereka.
Punca Kewujudan FOMO
FOMO dipercayai berhubung rapat dengan ketagihan pada penggunaan laman media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram yang dilihat digunakan secara aktif dan meluas pada masa kini. Di negara ini, FOMO masih baharu dalam kalangan masyarakat disebabkan masih kurang kajian dilakukan untuk memperkenalkan istilah itu sendiri. Namun disebabkan oleh kebergantungan kepada gajet dan akses kepada media sosial yang tinggi, maka sebenarnya sindrom ini sudah melanda masyarakat kita. Kebergantungan hidup kepada media sosial jika tidak diuruskan dengan baik akan memberi impak kepada masyarakat kita dari segi kemerosotan kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental.
Media sosial telah menyebabkan kehadiran FOMO semakin meluak-luak dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, kita dapat lihat wujudnya trend-trend baharu yang sering menjadi ikutan terutama dalam kalangan remaja yang tidak ingin terlepas daripada turut serta di dalam perkara baharu tersebut. Kadang kala ada yang sanggup keluar daripada kemampuan sendiri dari segi wang mahupun tenaga demi mengikuti perkembangan yang sedang hangat di media sosial. Sudah menjadi lumrah seorang remaja, mereka mempunyai sikap berani dan tidak ambil peduli keadaan sekeliling selagi mana perkara tersebut menghiburkan dan memenuhi kehendak mereka. Maka, tidak hairanlah sekiranya didapati bahawa remaja masa kini cenderung menggunakan media sosial tanpa mengira waktu kerana ia memberi kepuasan kepada mereka.
Implikasi FOMO Terhadap Individu
Implikasi FOMO memberi kesan yang buruk kepada seseorang tanpa mengira usia mahupun jantina. Lebih lama seseorang menghabiskan masa di media sosial, maka lebih tinggi implikasi dan risiko yang bakal dihadapi. Masalah yang timbul ini sememangnya berlaku tanpa disedari namun sekira wujudnya rasa tertekan atau bimbang tentang apa yang dilihat dalam talian, maka seseorang itu boleh dianggap mengalami FOMO.
“Antara Implikasi daripada FOMO ialah wujudnya anxiety atau rasa gelisah pada seseorang kerana mereka akan sentiasa ingin memeriksa media sosial bagi melihat perkembangan daripada kenalan lain sebagai contoh dari segi aktiviti yang dilakukan, pemakaian mahupun dengan siapa mereka bersama.”
“Seterusnya boleh berlaku kemurungan apabila seseorang itu mula membuat perbandingan akan taraf hidup mereka yang tidak sama berbanding individu lain sebagai contoh timbulnya perasaan iri melihat orang lain yang hidup lebih mewah, bahagia dan lebih sempurna. Maka di sini wujudnya kehidupan yang hanya mengikut ke arah trend semata mata dan bukan atas kemampuan sendiri,” tambahnya lagi.
Masalah yang timbul ini akan mengakibatkan seseorang kehilangan kehidupan mereka sendiri akibat terlalu fokus kepada dunia maya berbanding realiti. Ini seterusnya boleh menyebabkan mereka kehilangan identiti mereka di mana kehidupan yang dijalani adalah bagi tatapan media sosial semata mata. Lebih buruk lagi apabila FOMO boleh mengakibatkan individu itu hanya tertumpu kepada apa yang dilakukan orang lain seterusnya mengabaikan kehidupan sendiri yang sepatutnya perlu diberi keutamaan.
FOMO yang tidak dirawat boleh menyebabkan seseorang itu akan mengalami tekanan hidup yang tinggi di samping memperkembangkan sifat dan emosi negatif seperti takut, cemas, bimbang, resah, rasa tidak puas, cemburu dan marah. Golongan remaja terutamanya perlu diberi perhatian lebih serius kerana mereka berada dalam proses mengenali identiti, maka kebarangkalian untuk terpengaruh dengan perkara baharu itu juga adalah sangat tinggi.