Oleh: Aqilah Azanil
Penyunting: Marllisa Anttonysamy
BAGAN DATUK , 25 Dis - Tarikan terbaharu taman bunga matahari di Bagan Sungai Burung, Bagan Datuk, Perak yang dikenali sebagai Sunflower Garden berjaya mencuri perhatian penduduk di sekitar dan juga luar kawasan ini.
Bunga matahari atau nama saintifiknya ‘Helianthus Annuus’ di Bagan Datuk ini mula menjadi tular sekitar selepas tamatnya PKP yang lalu. Kawasan tersebut menjadi tumpuan kerana terdapat bunga matahari yang sangat mekar dan berwarna terang.
Nadi Bangi juga berpeluang mengunjungi taman ini dan merasai sendiri pengalaman yang diceritakan oleh orang ramai. Ternyata, ia bukanlah sekadar indah khabar dari rupa, bahkan pengalaman pertama kali ke sini sangat menggamit aura positif dan menenangkan di samping dikelilingi dengan bunga matahari yang sangat memukau pandangan.
Menurut salah seorang pemilik Sunflower Garden, Heng Moi Teang (Wendy), 48 berkata, tercetusnya idea untuk mengusahakan taman bunga matahari ini adalah apabila pelancong dari luar yang datang ke kampungnya sering bergambar dengan bunga matahari yang sebelum ini hanya ditanam di tepian jalan sebagai tanaman hiasan.
Menurutnya lagi, taman bunga matahari yang berkeluasan kira-kira 2 hektar dengan anggaran 2,000 pokok itu bukan semata-mata menyediakan panorama bunga matahari, bahkan turut terdapat arca yang terdiri dari pelbagai bentuk seperti sampan berbentuk hati, buaian, dan juga sebuah tangga yang dibina seolah-olah menuju ke langit. Selain itu, taman ini juga menyediakan peluang kepada para pelancong untuk merasai sendiri pengalaman memberi makan kepada haiwan ternakan seperti ikan, itik dan angsa.
Menurut pengunjung, Alia Safiya, 25 berkata, beliau teruja apabila mendapat tahu bahawa terdapat taman bunga matahari di Perak dengan panorama yang sangat cantik dan tenang, ketika ditemui di sini. Beliau sanggup datang dari Johor yang mengambil masa lebih kurang 5 jam semata-mata untuk menikmati sendiri keindahan dan keunikan Sunflower Garden, Bagan Datuk ini. Menurutnya lagi, beliau sangat berpuas hati dan merasakan ini pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan berhasrat untuk berkunjung lagi ke sini di lain masa.
Seorang lagi pengunjung taman tersebut, Faris Haikal, 27 berkata, beliau sendiri tidak menyangka bahawa perjalanan dari Melaka untuk ke sini sangat berbaloi apabila melihat sendiri pemandangan yang indah dikelilingi bunga matahari. Beliau berkata lagi, taman ini wajar untuk dikomersialkan biarpun berada jauh di pelusuk kampung, namun sesiapa sahaja yang datang pasti akan berpuas hati dengan keindahan dan pesonanya.
Justeru, orang ramai yang berhasrat untuk menikmati keindahan panorama ini boleh mengunjungi Sunflower Garden, Bagan Datuk yang beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 7 malam dengan bayaran tiket yang sangat berpatutan bermula dari RM 5 hingga RM 13 mengikut umur yang telah ditetapkan.
Comments