Izzah Atirah
Tanaman Pokok Gutta Percha bersempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinfomasi 2022
Penulis: Nur Izzah ‘Atirah Abdul Rahim
Penyunting: Ainul Salsabila Aidi

Sumber: @kss_ukm
BANGI, 17 MEI: Pihak Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Yayasan Telekom Malaysia (YTM) telah mengadakan Program Tanaman Pokok Gutta Percha bagi usaha melindungi spesies flora Gutta Percha bersempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Dunia 2022.
Menurut Ketua Program Kelab Sukarelawan Siswa UKM, Anis Adibah, 23, tujuan program ini diadakan adalah bagi memupuk sikap cinta akan alam sekitar yang sekaligus menggilap semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar dengan memberi kesan yang positif kepada alam sekitar dalam jangka masa yang lama.
“Dengan adanya program tanaman pokok ini ia akan dapat membantu pelajar menyemai sifat sayang akan alam sekitar kita dan semangat tinggi terhadap kesukarelawanan,” katanya.
“Impak program ini kepada alam sekitar bukan dalam jangka masa pendek tetapi membawa kepada kebaikan dalam jangka masa panjang,” tambahnya lagi.
Ahli sukarelawan, Nazrin Yahya, 21, menyatakan penganjuran aktiviti ini telah memberi kesedaran kepada beliau tentang kepentingan tanaman pokok kepada bumi dan bersemangat untuk memulihkan bumi.
“Dengan menyertai aktiviti seperti ini, saya sedar bertapa pentingnya tanaman pokok kepada bumi kita sekaligus memberi saya perasaan semangat untuk memulihkan bumi yang kini kian hancur akibat perubahan iklim yang berlaku.” katanya.
Program ini merupakan salah satu program kolaborasi strategik antara Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia ANGKASA dan UKM melalui Institut Perubahan Iklim (IPI) yang akan menghasilkan modul pembelajaran dan pengajaran “Sejuta Pokok Segunung Harapan” serta program kesedaran berbentuk “Trains of Trainers” (ToT).
Dalam usaha menggerakkan projek tersebut, ANGKASA yang telah menjalinkan kerjasama dengan UKM berkomited ingin menjayakan agenda kerajaan untuk menanam 100 juta pokok menjelang tahun 2025 sebagai salah satu usaha bagi membantu menangani pemanasan global dan perubahan iklim.
Modul pembelajaran dan pengajaran serta program kesedaran ToT ini akan dilaksanakan kepada koperasi sekolah, koperasi siswa dan koperasi di kawasan komuniti di seluruh Malaysia bagi memberikan pendidikan asas berkaitan dengan penyelenggaraan tanaman pokok.
Seramai 20 orang ahli sukarelawan yang menyertai program ini telah menerima sijil penyertaan The Malaysia World Book of Records. Penglibatan pelajar dalam aktiviti bukan sahaja dapat membantu dalam perkembangan kurikulum pelajar malah memberi kesedaran yang tinggi terhadap perubahan yang berlaku kepada bumi.