top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Tanggapan Masyarakat Tentang Pentingnya Pemberian RM 1 Bilion Bagi Perkhidmatan Kesihatan Awam

Oleh : Bhavanpreet Kaur

Penyunting : Chan Lyn Yi

Sumber : Metro TV

KUALA LUMPUR, 13 Nov - Peruntukan RM 1 bilion bagi Perkhidmatan Kesihatan Awam dilihat menerima sambutan positif daripada masyarakat dalam memahami inisiatif kerajaan supaya dapat membendung gelombang ketiga COVID-19 semasa Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas.


Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata peruntukan ini merangkumi RM475 juta bagi pembelian bekalan reagen, kit saringan dan bahan guna habis untuk kegunaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM318 juta untuk penyediaan peralatan perlingungan diri (PPE, Personal Protective Equipment) dan cecair pembasmi kuman (hand sanitiser) kepada petugas barisan hadapan KKM. Sebanyak RM150 juta pula adalah kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara supaya memerangi virus COVID-19 dan RM50 juta lagi bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti.


Menurut beliau, seramai 100 ribu petugas barisan hadapan KKM dalam kalangan kakitangan petugas kesihatan dan perubatan sama ada di hospital dan klinik kesihatan juga akan mendapat sebanyak RM500 secara one-off sebagai tanda penghargaan jasa mereka.


Pengasas dan CEO Centre for Research, Advisory and Technology (CREATE), Ng Yeen Seen ketika ditemu ramah oleh Edisi 7, NTV7 mengenai pendapatnya berkaitan peruntukan ini, beliau berkata bahawa kerajaan tidak mempunyai pilihan lain kerana negara kita mempunyai ramai petugas barisan hadapan yang sangat memerlukan peralatan PPE untuk melindungi diri mereka sambil menjalankan tugas mereka.


Beliau juga berkata bahawa kerajaan Malaysia telah melakukan tindakan yang terbaik bagi memastikan kelengkapan PPE dibekalkan dengan secukupnya untuk petugas barisan hadapan kalau dibandingkan dengan negara-negara lain.


Katanya, dengan peningkatan jumlah kes positif COVID-19 secara mendadak pada bulan Mac lepas, permintaan adalah melebihi daripada penawaran di Malaysia yang sejurusnya mengakibatkan kekurangan peralatan PPE, cecair pembasmi kuman dan topeng muka, tetapi pihak kerajaan telah berusaha untuk memastikan petugas barisan hadapan mempunyai peralatan PPE yang secukupnya pada bulan-bulan yang seterusnya.


Tambahnya, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia telah mengambil inisiatif dengan membantu menjahit dan menghasilkan PPE bagi petugas barisan hadapan yang bukan bertugas untuk KKM sahaja iaitu polis, tentera dan sukarelawan dalam menangani wabak COVID-19 yang sedang menular ini.


Nadi Bangi sempat melihat pendapat netizen di laman media sosial Twitter dan mendapati bahawa orang ramai sangat berpuas hati dengan peruntukan tersebut terutamanya dengan pemberian RM500 secara one- off kepada setiap petugas barisan hadapan negara.


Pengguna Twitter @faizalfahim berkata bahawa jasa petugas barisan hadapan perlu dihargai dan pemberian secara one-off ini dapat memberi semangat kepada mereka untuk terus berjuang untuk negara bagi membanteras virus COVID-19.

35 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page