Izzah Atirah
Tanggungjawab Penjaga Mendidik Anak Untuk ‘Potty Train’
Penulis: Nur Izzah ‘Atirah Abdul Rahim
Penyunting: Ainul Salsabila Aidi

Sumber: Beautifulnara
KUALA LUMPUR, 27 April - Tular seorang ibu berkongsi mengenai anaknya yang baharu sahaja bersekolah, namun telah diberhentikan akibat terkencing dalam seluar.
Terkesan dengan isu ini, seorang guru tadika yang dikenali sebagai Cikgu Ayu telah tampil mengulas dengan memuat naik satu video di halaman Tiktok beliau.
Perkongsian video Tiktok yang dimuat naik beliau telah memberi teguran dan saranan yang menyeluruh kepada pendidik dan penjaga. Namun beliau mendapat kecaman kerana segelintir ibu bapa tidak berpuas hati dengan teguran yang dibuat.
“Guru perlu membuat pemerhatian terlebih dahulu sebelum menerima pelajar. Namun, saya tak salahkan cikgu tetapi saya salahkan ibu bapa. Usia empat ke lima tahun seharusnya sudah pandai untuk menguruskan diri sendiri,” katanya.
“Taman didikan kanak-kanak bukan tempat didikan untuk menguruskan latihan tandas. Malah ia merupakan tempat pelajar untuk menguasai 4M iaitu membaca, menulis, mendengar dan menaakul,” tegasnya lagi.
Menerusi satu ciapan oleh seorang pengguna Twitter @twitbiy yang telah memuat naik semula video tersebut, beliau merasakan teguran yang dibuat adalah kasar dan mengatakan kanak-kanak tidak tahu serta mereka mungkin berasa takut dengan kehadiran guru atau orang yang tidak dikenali.
Rata-rata pengguna di aplikasi Twitter menyatakan ulasan yang dibuat Cikgu Ayu adalah benar, namun guru tersebut perlu lebih berhati-hati dan beradab ketika membuat sesuatu ulasan mengenai mana-mana isu.
Berikutan isu ini, Alia Zainal, 24, guru tadika di salah sebuah tadika di Kuala Lumpur, mengatakan beliau bersetuju dengan pendapat yang diberikan oleh guru tersebut malah saranan yang diberikan Cikgu Ayu juga bernas. Namun cara penyampaian yang dibuat seharusnya lebih sopan bagi melambangkan beliau sebagai seorang pendidik. “Saya bersetuju dengan saranan yang diberikan oleh beliau. Pelajar di usia itu seharusnya dapat menguasai 4M terutamanya menaakul. Di sini pelajar boleh menyelesaikan dan sedikit sebanyak dapat membantu dalam menguruskan diri sendiri,” ujarnya
Walau bagaimanapun, teguran yang dibuat cikgu ayu sepatutnya lebih sopan kerana beliau akan membawa keperibadian sebagai seorang pendidik lebih-lebih lagi pendidik di Taman Didikan kanak-kanak,” katanya tegas.
Amirah Mayudin, 32, ibu kepada dua orang anak mengatakan ibu bapa bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam mendidik anak berdikari dan bebas lampin seawal usia anak 2 tahun.
“Ibu bapa perlu memberi masa serta berusaha mendidik mereka sehingga mereka boleh bebas lampin pada usia 2 tahun,” ulasnya.
Beliau turut mengatakan setiap anak mempunyai tahap perkembangan yang berbeza, bergantung kepada tahap penerimaan anak tersebut.
“Ada yang cepat dan ada yang lambat. Walaupun kita sudah mendidik mereka tanpa henti namun segalanya akan berbalik kepada cara penerimaan dah tahap perkembangan mereka,” katanya.
Nurul Ain, 33, merupakan suri rumah tangga mengatakan guru tadika tidak sepatutnya memberhentikan pelajar tersebut begitu sahaja dan seharusnya berbincang terlebih dahulu dengan penjaga.
“Kadang-kadang mungkin mereka tidak cukup kakitangan untuk menguruskan hal demikian. Namun, setidaknya pihak tadika perlu berbincang dengan penjaga untuk memberikan satu tempoh masa kepada pelajar tersebut.”