Nadi Bangi
Tiada Kebenaran Untuk Gunting Rambut Di Kedai
Oleh: Amelin Yazimi
Penyunting: Fatin Roslee

Sumber: Google
PUTRAJAYA, 2 Jun - Walaupun kes jangkitan wabak COVID-19 yang melibatkan rakyat tempatan semakin berkurangan, pihak kerajaan masih belum memberi kebenaran untuk kedai gunting rambut beroperasi seperti biasa dan aktiviti gunting rambut masih dalam aktiviti terlarang di mana sahaja.
Namun begitu menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiapkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung rungutan rakyat dan pemilik kedai gunting rambut.
“Setakat ini belum dibentangkan, kita menunggu dari MKN untuk bentangkan SOP jika sudah siap tapi setakat ini belum lagi. Selepas itu baru kita putuskan untuk benerkan buka atau tidak dan bila tarikh itu bergantung kepada SOP yang dibentangkan.”
Melalui kemaskini di laman Twitter rasmi KKM, SOP pembukaan semula perkhidmatan kedai gunting rambut akan dibentangkan kepada MKN pada Sabtu ini. Walau bagaimanapun terdapat sesetengah pihak yang membuat servis gunting rambut rumah ke rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.
Asyraf, pelajar universiti awam, berkata ketika ditemu bual oleh Nadi Bangi, walaupun tiada lagi kuliah secara fizikal dan pemeriksaan etika pemakaian, masih lagi tidak selesa untuk menyimpan rambut panjang semasa PKP ini. Oleh itu, ada yang membuat perkhidmatan gunting rambut secara tersembunyi.
Menurut Nabil Tariq, pelajar Tingkatan Enam yang sempat ditemu bual oleh Nadi Bangi, tindakan sesetengah pihak yang mengupah tukang gunting rambut untuk ke rumah merupakan sikap yang sangat mementingkan diri sendiri dan berisiko tinggi untuk menyebarkan jangkitan COVID-19
“Belum tentu tukang gunting rambut yang datang ke rumah mengikut SOP yang dibenarkan oleh kerajaan. Ada sebab tertentu mengapa kerajaan ingin menunggu SOP oleh MKN dan KKM. Hal ini supaya penularan jangkitan COVID-19 dapat dihentikan.
“Tahap kesabaran yang tinggi dan kerjasama daripada rakyat amat penting semasa pandemik ini”