top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

TIADA LAGI SYARAT 10KM, RENTAS NEGERI MASIH TIDAK DIBENARKAN

Oleh: Syahzanani Sajidah

Penyunting: Fazlan Kamaruzaman

SUMBER: ASTRO AWANI

PUTRAJAYA, 8 Mei: Kerajaan membenarkan orang ramai bergerak melebihi radius 10 kilometer, perkara ini susulan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah berkuat kuasa pada 4 Mei sehingga 9 Jun 2020.


Langkah itu diambil bagi memudahkan orang ramai menjalankan tugas ke tempat kerja memandangkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial telah dibuka semula berikutan dengan penutupan yang dilakukan sebelum ini bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Dalam sidang media harian yang dilakukan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan yang melibatkan radius sebanyak 10 kilometer tidak lagi digunakan dalam peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun pergerakan rentas negeri masih lagi di dalam senarai perkara yang dilarang sepanjang tempoh PKPB.


“Tidak ada lagi syarat radius 10 kilometer di dalam peraturan PKPB, tidak ada lagi. Bagaimanapun, pergerakan rentas negeri masih lagi di dalam senarai yang dilarang, oleh itu aktiviti rentas negeri masih tidak dibenarkan sewaktu PKPB”, kata beliau dalam sidang media yang disiarkan oleh Astro Awani.


Hal ini susulan dengan Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan perjalanan rentas negeri untuk pulang ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri adalah tidak dibenarkan, rentetan dengan perkara ini, Nadi Bangi sempat menemu bual beberapa orang awam.


Sayani Saidon, 49, yang berpendapat bahawa pergerakan yang tidak lagi tertakluk kepada 10 kilometer memudahkannya untuk bergerak ke tempat kerja dan membeli barang keperluan yang kadang-kala tidak dijual di kedai yang berdekatan, namun beliau merasakan sedikit kecewa kerana pergerakan rentas negeri semasa perayaan Aidilfitri masih lagi tidak dibenarkan.


“Kebaikan PKPB ini memudahkan saya untuk bergerak ke tempat yang sedikit jauh kerana kadang-kala ada barang yang tidak dijual atau habis di kedai berdekatan, jadi bila kerajaan membenarkan kita bergerak ini, sedikit sebanyak ia memudahkan urusan saya,”


“Namun begitu, saya sedikit kecewa kerana tidak dapat pulang ke kampung untuk menyambut sambutan Aidilfitri bersama keluarga, tetapi untuk keselamatan kita perlu mengikuti perintah kerajaan”, katanya ketika ditemu bual.


Sementara itu, Nurin Batrysia, 21, pula turut menzahirkan rasa sedihnya apabila tidak dapat pulang ke kampung semasa perayaan Aidilfitri.


“Aidilfitri tahun ini tidak menjadi meriah dan sedikit menyedihkan kerana tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan bersama keluarga besar, tetapi demi memastikan kesihatan dijaga, kita perlu mengikuti perintah kerajaan”, katanya ketika ditemu bual oleh Nadi Bangi.


Dalam pada itu, Abu Hassan, 54, pula mengatakan beliau berasa lega kerana syarat 10 kilometer tidak lagi dikenakan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana memudahkannya untuk berulang-alik ke rumah ibu bapanya yang sakit.


“Saya berasa lega apabila jarak 10 kilometer tidak lagi dikenakan, ini memudahkan saya untuk berulang-alik ke rumah ibu bapa saya untuk melihat dan menjaga mereka yang sedang sakit”, kata beliau.


Dalam sidang media harian itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengatakan orang ramai yang dapat melihat dengan jelas terhadap individu yang gagal mematuhi peraturan PKPB, mereka boleh membuat aduan kepada pihak Polis atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau talian Hotline Majlis Keselamatan Negara (MKN) di 8888-20-10.

16 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page