top of page
Writer's pictureNadi Bangi

Tiada Tempat Untuk Basikal di UKM

Wartawan: Muhammad Syukri Sani Bin Mohd Azman

Editor: Samyuktha A/P Seeranjeevi


Sumber foto : Aliff Hakimi


BANGI, 9 Mei - Jalan di sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) didakwa tidak selamat untuk kegunaan basikal selepas seorang pelajar mengalami kemalangan akibat terlanggar lubang ketika menunggang basikal Easywheels bersama rakannya.


Pelajar tersebut, Aliff Hakimi, 23, berkata, kejadian berlaku di hadapan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM ketika beliau dan rakannya, bersiar-siar dan ingin mencuba kemudahan basikal Easywheels yang baru sahaja diperkenalkan di UKM.


“Saya bawa basikal tersebut dengan kelajuan yang sederhana, tetapi malangnya saya terjatuh akibat tidak dapat mengelak lubang yang berada di tengah jalan ketika itu,” katanya yang mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan itu.


Beliau memberitahu, basikal lebih sukar untuk dikemudi disebabkan oleh keadaan jalan yang tidak rata dan boleh menyebabkan penunggang hilang kawalan.


“Saya dan rakan-rakan mengalami kesukaran untuk mengawal basikal disebabkan oleh permukaan jalan yang beralun dan berlubang terutama sekali di sekitar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) sehingga ke Pusat Kesihatan Universiti,” tambahnya.


Seorang lagi pelajar yang ditemubual, Humaira Bahrom, 23, berkata keadaan jalan di UKM boleh menjadi lebih bahaya kepada penunggang basikal terutamanya ketika waktu-waktu puncak.


“Saya tengok ada penunggang basikal yang terpaksa berhenti ke tepi untuk memberi laluan kepada kenderaan lebih besar seperti kereta dan bas, tambah lagi dengan ketiadaan lorong basikal dan susun atur jalan di UKM yang kebanyakannya sehala, memang memberi risiko yang tinggi kepada penunggang basikal.


“Saya harap pihak UKM mewujudkan lorong basikal di sekitar universiti untuk mewujudkan suasana yang lebih selamat dan mesra basikal,” katanya ketika ditemubual.


Mengulas berkenaan isu ini, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi bahagian infrastruktur dan prasarana, Muhammad Aiman Azmi berkata tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Jabatan Prasarana kerana faktor geografi yang mengehadkan sebarang penambahbaikan dari segi jalan.


“Faktor geografi yang berbukit sememangnya mengehadkan tugas JPP untuk menjadikan UKM lebih mesra basikal, sekiranya jalan diturap sekalipun, penunggang basikal tetap perlu menghadapi permukaan jalan yang beralun dan berbukit” ujarnya.


Tambah Muhammad Aiman, beliau menyeru pihak yang ingin mengkomersialkan penggunaan basikal sewa di UKM untuk membuat penanda arasan terlebih dahulu sebelum menyediakan khidmat.


“Syarikat atau pihak yang ingin menyediakan khidmat penyewaan basikal ini perlu menilai dahulu kesesuaian UKM sebagai tempat menyediakan khidmat tersebut, disebabkan oleh faktor geografi UKM yang berbukit, menyukarkan penunggang basikal dan permukaan jalan yang beralun serta tidak rata membahayakan penunggang,” ulasnya.



43 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page