Penulis: Muhammad Syakir Ahmad Sazali
Penyunting:Muhamad Nazeem Mohd Nazri
Sumber: Majoriti.com
IPOH, 20 Jun- Perak FC memilih untuk meletakkan tiga pemain import bagi menguatkan pasukan The Bos Gaurus itu dan menggugurkan 3 pemain tempatan untuk menjayakan rancangan tersebut.
Ketua jurulatih, Yusri Che Lah ketika mendedahkan perkara itu berkata, ia satu keputusan yang sukar buatnya.
“Saya tiada pilihan. Tiga pemain sedia ada terpaksa digugurkan untuk membolehkan trio import didaftarkan.
“Ini situasi menyedihkan kerana mereka ini telah bersama pasukan ketika kami menghadapi pusingan pertama dengan pemain terhad tetapi kini terpaksa diketepikan dalam baki saingan kerana kami berlebihan pemain,” kata Yusri.
Menurut Yusri, selepas larangan pendaftaran pemain baharu ditarik balik oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 16 Jun lalu membolehkan Perak FC mendaftarkan 14 pemain baharu untuk musim ini.
“Saya berharap pemain dan penyokong faham akan tindakan yang diambil. Tiada unsur pilih kasih terhadap mana-mana pemain kerana tindakan diambil bertujuan memastikan pasukan menamatkan cabaran dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga Perdana sekaligus layak ke Piala Malaysia.
“Ia satu keputusan yang sukar dan berat tetapi terpaksa dilakukan,” tambahnya.
Selain itu, Yusri turut memohon maaf kepada penyokong kerana tidak menurunkan pemain Croatia, Stipe Plazibat walaupun berada di stadium malam tadi.
“Saya tidak mahu mengambil risiko menurunkan pemain itu kerana masih kepenatan. Saya berpeluang melihatnya dalam latihan pasukan,”jelasnya.
Dalam pada itu katanya, dua lagi pemain iaitu Luciano Guaycochea dari Argentina dan pemain tengah menyerang, Sunday Kolawole Afolabi dari Nigeria dijangka tiba hari ini atau esok.
Comentarios