Nadi Bangi
Tiket Konsert Berharga Ramah Pelajar Bakal Menggegarkan UKM
Updated: May 8
Penulis: Nur Iliyana Natasha binti Muhammad Nizam
Penyunting: Noor Sahila binti Mohamed Sulaiman

Sumber foto: Laman Sosial Rasmi Malaya Pop X Lantera Mas
BANGI, 29 APRIL - Sebuah konsert dengan gelaran ‘Panggung Malaya Pop’ bakal berlangsung pada jam 8 malam, Sabtu, 13 Mei di Dewan Canselor Tunku Abdul Rahman (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan menawarkan harga tiket yang berpatutan dan ramah pelajar kepada para penggemar muzik tanah air.
Harga tiket yang ditawarkan penganjur, Kelab Lantera Mas Kolej Keris Mas dengan anjuran bersama Pusat Kebudayaan UKM (PUSKEB) itu langsung tidak mencecah ratusan ringgit dengan hanya dijual pada harga RM35 bagi zon duduk dan RM50 bagi zon berdiri walaupun berjaya menampilkan persembahan daripada beberapa kumpulan muzik terkenal seperti Kugiran Masdo, juara Anugerah Juara Lagu ke-36, Sekumpulan Orang Gila (SOG) dan penyanyi-penyanyi yang semakin menempa nama dalam industri.
Menurut Ketua Pengarah Projek Panggung Malaya Pop, Muhammad Syukri Khairulannuar, pelajar jurusan Sains Politik (tahun 2), rangka projek Panggung Malaya Pop merupakan suatu langkah yang diambil pihaknya bagi meringankan beban golongan muda dalam menikmati sesebuah karya muzik.
“Kita tidak ingin menjadi suatu halangan bagi golongan muda apabila mereka terpaksa mengeluarkan duit yang banyak untuk menikmati persembahan nyanyian lagu diminati.
“Oleh itu, Panggung Malaya Pop merupakan suatu inisiatif bagi memudahkan golongan muda dan pelajar terutamanya dalam menjimatkan kos kewangan mereka dengan memberi peluang merasakan pengalaman konsert berharga murah tetapi dijamin bermutu tinggi,” ujarnya.
“Golongan muda merupakan sasaran utama projek ini kerana kita dapati masih ramai di kalangan mereka yang lebih meminati lagu-lagu dari negara jiran sedangkan industri di Malaysia turut menghasilkan muzik yang berkualiti dan mempunyai nilai tersendiri.
“Maka, objektif kami adalah untuk memandang kepada suatu perspektif yang lebih jelas dengan meningkatkan tahap kerelevanan muzik Malaysia dalam kalangan orang muda,” tambahnya lagi.
Barisan penggiat seni muzik tempatan lain yang bakal menghangatkan pentas bersama-sama Kugiran Masdo dan SOG merupakan Hariz Fayahet, Shahril Nizam, Heidi Moru, Motherwit dan Nadir Band dengan sasaran seramai 3500 pengunjung akan membanjiri DECTAR, UKM pada malam tersebut.
Selain persembahan nyanyian pada waktu malam, Panggung Malaya Pop turut menyajikan pengunjung dengan bengkel muzik ‘Sembang Pop Malaysia’, pameran kesenian dan juga pelbagai jenis gerai jualan sepanjang hari.
Maklumat mengenai konsert dan pembelian tiket boleh diperoleh menerusi laman sosial rasmi Malaya Pop X Lantera Mas: @malayapop.lm.